Tuesday, November 07, 2006

Mawi jawap tuduhan akhbar

“Saya layan semua sama”

Mawi, Mawi, Mawi dan Mawi lagi. Nyata fenomenanya belum berakhir sehingga kini meskipun diasak dengan kontroversi yang bertubi-tubi. Setelah lama tidak berkomunikasi dengannya secara langsung, kali ini saya bertemu Mawi untuk bertanyakan sendiri kepadanya tentang banyak perkara.
Kawan-kawan saya di media lain pun tidak terkecuali menjadikan ruang di sidang akhbar ini untuk bertanya banyak hal yang sensasi dan terkini tentang ‘Raja SMS’ ini.
Banyak hal yang kami ajukan kepada Mawi. Dari hal berkaitan rasa tak puas hati peminat, sehinggalah kepada isu pertunangan tiba-tiba yang sengaja direka oleh pihak tertentu ketika umat Islam tengah sibuk dengan hari raya baru-baru ini.
Saya juga bertanya kepada Mawi soal sebahagian peminat fanatiknya yang bagaikan tidak boleh menerima kritikan yang dilemparkan kepadanya. Kata Mawi, dia tak kisah dengan kritikan.
Dan menariknya kali ini Mawi menjawab semua soalan dengan jelas tanpa menggeleng atau tersenyum selamba macam biasa. Sekurang-kurangnya sudah ada perubahan pada anak muda yang satu ini, bisik hati kecil saya.
Pertama kali beraya di rumah baru, khabarnya ada peminat tak puas hati dengan layanan Mawi dan keluarga di hari raya pertama. Kenapa tu?
Saya rasa semua okey saja. Hari raya pertama memang hari saya layan peminat. Dakwaan yang macam-macam timbul tu langsung tak betul, sebab memang semua orang saya layan macam biasa, peminat. Tapi kalau hendak masuk semua sekali ke dalam rumah, masuk bilik air dalam rumah semua tu, tak boleh jugalah. Rasa-rasanya tak ada apa-apa hal yang tak baik masa hari raya tu.
Dengan kontroversi Mawi pergi meminang yang tiba-tiba ditimbulkan, adakah Syawal kali ini membawa ketenangan buat Mawi?
Sesak juga, tapi sudah biasalah. Tak ada apa-apa hal.
Reaksi pertama Mawi bila baca laporan akhbar berkenaan? (Bukan terbitan Kumpulan Utusan).
Sengih saja. Terkejut memang ada, tiba-tiba saja cerita tak betul tu timbul. Mengarut semua tu.
Tertekan?
Macam saya cakap, sudah biasa. Tapi ada juga rasa macam serangan yang bertubi-tubi datang. Habis satu, datang lagi satu. Alah, diri saya sudah biasa diumpat, dikata, dinista dan dinasihat, dikritik. Saya sudah anggap benda-benda ini semua sebagai satu benda yang perlu saya terima.
Adakah berita pertunangan dan merisik itu 100 peratus palsu?
Ya, 100 peratus tidak benar. Tak betul langsung.
Kalau sampai masanya keluarga mahu meminang mana-mana gadis sebagai bakal isteri, apakah Mawi akan berkongsi dengan kami?
Insya-Allah saya akan kongsi, benda baik. Jodoh saya dengan sesiapapun saya akan terima, akan beritahu anda semua.
Benarkah arwah Pak Atan (ayah Mawi) pernah memberi wasiat supaya Mawi berkahwin dengan seorang gadis yang sudah dipilih oleh arwah?
(Senyum). Mana ada? Tak ada apa-apa wasiat. Tak ada langsung.
Pada ketika dan saat ini, bagaimanakah ciri-ciri wanita idaman Mawi?
Itu cita rasa sayalah. Takdir akan menentukan segala-galanya.
Apakah wanita bertudung tidak lagi menjadi persoalan utama seperti dulu?
Kalau dapat yang bertudung lebih baiklah. Tapi kita tak boleh hendak tolak jodoh.
Mawi penat dengan segala macam kontroversi yang dimainkan?
Tak ada juga. Pengajaran lama mengajar saya. Tapi tidaklah boleh kata saya sudah rasa kebal. Main juga di kepala bila hal-hal tak betul keluar. Saya fikir tentu parah sebab esok hendak jumpa kawan-kawan wartawan. Macam hari ini kita jumpa, saya dah sedialah menjawabnya.
Kalau ada masalah macam ini pada siapa Mawi mengadu?
Siapa lagi? Anda semualah (wartawan). Banyak masalah saya kongsi dengan anda semua. Sebab akhirnya anda semua juga yang tolong saya jelaskan apa yang benarnya. Kasi cover balik.
Ada peminat ‘fanatik’ Mawi anggap kritikan media sebenarnya dengan tujuan menjatuhkan Mawi, bagaimana pandangan Mawi sendiri?
Wartawan tulis tu memang kerja merekalah. Tugas mereka cari berita. Saya sebenarnya kena ucap terima kasih kepada wartawan sebab tulis cerita fasal saya. Jadi, orang tak lupakan Mawi. Puji ke, kritik ke maknanya orang selalu ingat saya. Saya tak pernah cakap pun yang wartawan ada tujuan untuk menjatuhkan saya ke apa ke. Tak ada.
Nampaknya ada peminat yang tak boleh terima kritikan orang lain terhadap Mawi?
Kritikan terhadap saya? Ya ke ada?
Ada yang guna bahasa kesat, memaki hamun, mencarut dan sebagainya yang digunakan oleh peminat Mawi. Contohnya melalui surat, e-mel dan ruangan sembang di Internet?
Kasihan juga ya. Sebagai manusia kita pun kenalah terima kritikan dan nasihat. Jangan cepat sangat melatah. Kena terima.
Adakah Mawi bangga ada peminat yang macam ini?
Alhamdulillah. Saya hendak komen banyak sangat pun tak boleh juga (ketawa).
Cakap sajalah, kenapa Mawi takut peminat tak boleh terima dan lari?
Yallah, saya kena jaga hati peminat juga. Peminat punya pandangan tersendiri tentang sesuatu isu. Tetapi kalau tahap maki hamun, mengata orang itu memang sudah tak patutlah.
Maknanya selagi mereka bergelar peminat, Mawi tak kisah bagaimanapun perilaku mereka?
Setiap apa yang mereka suarakan, itu adalah pandangan peminat. Pandangan peribadi mereka. Bagi saya, saya akan layan semua sama. Yang sokong saya, saya akan layan samalah.

Mawi gagal berdrama?




Mawi cuba menafikan beliau mempunyai hubungan dengan Ikin tetapi gambar kiriman peminat ini menggambarkan mereka seolah-olah telah lama mengenali. Malah gambar ini juga dipercayai dirakamkan ketika Mawi berkunjung ke rumah Ikin pada awal Syawal lalu.

Oleh NIEZAM ABDULLAH dan HASZRUL MOHAMED (Wartawan Utusan Malaysia)



Hasrat juara Akademi Fantasia Ketiga (AF3) Asmawi Ani atau Mawi untuk menafikan beliau sebenarnya mempunyai hubungan atau berkawan dengan pelakon drama Kawan - Nora'Asikin Rahmat (Ikin), 27, ternyata gagal.
Sebelum ini Mawi menafikan sekeras-kerasnya beliau berkawan dengan Ikin, jauh sekali untuk berkunjung ke rumah keluarga Ikin di Jalan Mariamah, Johor Bahru.
Malah dalam satu sidang media di sebuah restoran pada Selasa lalu penyanyi itu mencabar wartawan supaya menunjukkan bukti sekiranya beliau pernah berkunjung ke rumah Ikin.
Mawi mendakwa desas-desus hubungannya dengan pelakon itu adalah fitnah yang melanda dirinya pada ketika ini.
“Kalau ada gambar (berkunjung ke rumah Ikin) tunjukkanlah buktinya,’’ kata Mawi pada sidang media itu. Bagaimanapun cubaan Mawi untuk menyembunyikan perkara sebenar itu ternyata menjerat dirinya.
Ketika Mawi cuba menafikan mempunyai hubungannya dengan Ikin itu, Pancaindera teleh menerima panggilan telefon mengatakan Mawi sebenarnya telah berkunjung ke rumah Ikin.
Menerusi sumber itu, akhirnya Wartawan Utusan Malaysia di Johor Bahru - Haszrul Mohamed secara eksklusif menerima gambar yang membuktikan segala-galanya.
Gambar itu menunjukkan Mawi bersama Ikin dan ibu bapa gadis itu iaitu Fatimah dan Rahmat.
Walaupun agak kabur, gambar tersebut secara jelas memperlihatkan Mawi sebenarnya ada berkunjung ke rumah Ikin walaupun dia sendiri cuba menafikannya.
Adalah lebih baik juara AF itu berterus terang daripada cuba untuk menyembunyikan kebenaran yang akhirnya memakan dirinya sendiri.
Tiada siapa yang kisah jika Mawi benar-benar hendak bertunang ataupun mengunjungi rumah seseorang tetapi dalam hal ini kejujuran adalah lebih baik daripada terlalu ingin bermain sandiwara yang akhirnya memperlihatkan keburukan diri.
Lebih mendukacitakan Mawi mendakwa hanya mengenali Ikin sebagai rakan sesama artis dan tidak lebih daripada itu.
“Saya juga tidak pernah berhubung dengan Ikin secara peribadi dan tidak mempunyai nombor telefonnya,’’ ujar Mawi pada sidang media itu.
Kata-kata Mawi itu sukar dipercayai. Jika dia tidak mempunyai nombor telefon gadis itu, masakan Mawi boleh mengambil gambar bersama Ikin termasuk ahli keluarganya.
Ahli keluarga Ikin sebelum ini turut menafikan kunjungan Mawi ke rumah mereka selain mendakwa Ikin tertekan dengan gosip tersebut.
Sumber memberitahu Pancaindera, Mawi berkunjung ke rumah Ikin pada hari raya lalu dan pulang ke rumah lewat pagi.
Mawi perlu ingat, seluruh rakyat Malaysia mengenalinya. Semua orang kenal Mawi. Daripada budak kecil sehinggalah orang tua. Ke mana Mawi pergi dan apa yang dia buat akan diperhatikan.
Dalam sidang media itu juga Mawi terkejut apabila Pancaindera memberitahu tempat percutian yang cuba disembunyikan Mawi pada hari raya lalu ialah di sebuah hotel di Port Dickson. Dia bercuti bersama keluarga dan turut memandu kereta Satria Neo.
“Macam mana tahu saya bercuti ke situ...?’’ tanya Mawi. Sebaliknya Pancaindera memberitahu Mawi, apa saja dia buat di dalam Malaysia ini dengan pantas akan tiba di telinga pihak media apatah lagi jika sesuatu perkara itu hendak disembunyikan.
Mawi perlu akui, hakikat untuk bergelar seorang bintang beginilah ujiannya. Bukannya mudah untuk meniti di sebuah jambatan emas jika tiada sebuah kekuatan.
Kepada Mawi, penyiaran gambar ini bukan untuk mengaibkan diri Mawi sebaliknya sebagai iktibar supaya Mawi tidak terus berpura-pura dan hidup dalam bayang-bayang lagi.
Mudah-mudahan Mawi dapat memperbaiki kelemahan dirinya itu. Tetapi percayalah, selepas ini kata-kata yang keluar daripada mulutmu Mawi sukar untuk dipercayai lagi. Mawi kena kembalikan kepercayaan orang terhadapnya.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home