Saturday, November 11, 2006

Jawab, jangan tak jawab: Ekin bimbang peminat fanatik Mawi

Jawab, jangan tak jawab: Ekin bimbang peminat fanatik Mawi
Oleh Zul Husni Abdul Hamid(Wartawan Berita Harian)


Dakwa pernah terima ugutan, rasa tak selamat keluar sendirian




KUASA sekeping gambar sudah cukup untuk menjelaskan segala-galanya. Tidak perlu lagi kata-kata, alasan juga sudah tiada makna kerana apa yang tertera sudah menjawab pertanyaan yang bermain di benak umum selama ini.

Begitulah nasib yang menimpa bakat baru, Nora’Asikin Rahmat atau Ekin. Gara-gara gosip mengaitkannya dengan artis lelaki popular, Mawi dia terjerat dalam ‘permainan’ yang diciptanya sendiri.

Puas menafikan, pelbagai alasan diberi akhirnya Mawi dan Ekin terpaksa akur mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran. Hanya kerana sekeping gambar yang tidak disedari bila diambil, mereka terpaksa tunduk kepada kenyataan.

Hakikatnya, jika tiada hubungan mengapa perlu bersandiwara? Untuk apa takut jika tidak melakukan apa-apa kesalahan? Mawi begitu yakin dengan jawapannya, malah sanggup mencabar kepada mereka yang bertanya untuk memberikannya bukti.

Nah, bukti kini di depan mata dan sandiwara yang cuba dilakonkan mereka berdua akhirnya terbongkar. Apa pula alasannya?

Namun, Ekin agak tenang apabila persoalan itu diajukan kepadanya. Panjang lebar dia menghuraikan situasi supaya tidak timbul lagi salah tanggapan. Simpati kepada Ekin hanya kerana berkawan dengan artis paling popular, akhirnya jari secara tidak sengaja turut tertuding kepadanya.

Kepada Hip, Ekin mengulas kontroversi yang hangat melanda pelakon yang sedang mencipta nama menerusi drama bersiri, Kawan itu.

Hip: Ekin lega selepas meluahkan segala-galanya?

Ekin: Buat sementara waktu, Ekin dan Aenn mengambil keputusan untuk tidak menerima sebarang tawaran. Mungkin awal tahun depan baru Ekin menerima. Dalam keadaan sekarang, Ekin bimbang tidak dapat memberi komitmen. Lagipun, Ekin dan Aenn terpaksa berulang alik ke Johor untuk melihat perkembangan kesihatan emak. Itu yang buat kami terpaksa menimbang pelbagai faktor sebelum bersetuju untuk berlakon.

Hip: Atau Ekin bimbang dengan pandangan orang luar ketika perkara itu masih hangat diperkatakan?

Ekin: Bimbang juga jika peminat fanatik Mawi tidak dapat menerima benda ini sebagai satu gosip. Ekin takut kerana marahkan Ekin ada yang sanggup bertindak keterlaluan. Rasa macam tak selamat untuk keluar sendirian. Kerana itu juga Ekin terpaksa menolak tawaran yang datang. Kepala pun tengah pening, baik Ekin tenangkan diri dulu. Kalau keluar pun, Ekin sentiasa ditemani. Tak berani pula kalau seorang diri, lebih lagi sebelum ini Ekin pernah menerima ugutan yang mengancam keselamatan.

Hip: Mengapa tidak berterus terang saja, tak ada perkara ini berpanjangan?

Ekin: Kalau Ekin berterus terang pun mesti ada yang salah anggap hubungan kami yang sebenar. Orang mengasak tapi bila Mawi sendiri memberitahu dia tidak kenal Ekin, macam mana Ekin nak mengaku? Ekin tidak mahu nanti dikata pula menumpang populariti Mawi, dituduh pula terhegeh-hegeh sedangkan dia tidak ada apa-apa. Dalam hal ini, Ekin jadi tersepit. Jika benar dia datang merisik, Ekin tidak akan selindung perkara yang benar. Masalahnya benda itu tak pernah terjadi. Peliknya bila bercakap yang betul orang tak mahu percaya pula.

Hip: Mungkin Ekin takut peminat marah?

Ekin: Ekin tidak takut kepada peminat, cuma dalam hal ini banyak hati yang perlu dijaga. Ekin tak nak ada hati yang terguris lagi. Anda sendiri pun boleh menilai. Kalau Mawi sendiri teragak-agak dalam memberikan kenyataan, apa lagi diri Ekin. Banyak perkara yang perlu Ekin pertimbangkan. Masa Mawi membuat kenyataan meminta bukti diberikan kalau benar dia bertandang ke rumah Ekin musim raya lalu, Ekin memang terfikir mengenai gambar yang diambil bersama. Cuma tak terlalu serius memikirkan perkara itu kerana rasanya ia tidak akan disebarkan kepada media. Tapi apabila sudah jadi begini, Ekin tidak boleh berbuat apa-apa lagi. Ekin cuma pasrah.

Hip: Ekin rasa jadi mangsa dalam kontroversi ini?

Ekin: Ekin tidak rasa diri sebagai mangsa cuma tertanya kenapa perkara ini perlu diperbesar-besarkan? Kami tiada hubungan apa-apa. Memang Ekin kenal Mawi tetapi salahkah mengenalinya sebagai seorang kawan artis? Rasanya tak salah kalau Ekin mahu berkawan dengan siapa-siapa. Ekin sebagai orang baru, duduk pula merantau di ibu kota jauh dari keluarga. Jadi kalau bukan dengan kawan, kepada siapa lagi mahu mengadu? Ekin perlukan kawan-kawan cuma kebetulan Mawi ialah antara kenalan artis yang Ekin kenali.

Hip: Sejujurnya adakah Ekin peminat setia Mawi?

Ekin: Ekin tidak minat pun dia. Kalau pun kenal sebelum ini, hanya sebagai penyanyi dan juara Akademi Fantasia 3. Hanya setakat itu. Tak ada pula minat gila sehingga sanggup berhabis untuk mengundi bagi memastikan Mawi menang dulu. Cerita itu tidak betul. Ekin pun malu bila perkara ini digembar-gemburkan. Tolonglah kerana Ekin pun sedang mencari nama dalam bidang seni. Biarlah orang kenal Ekin kerana bakat dan lakonan, bukan kerana cerita begini. Ada masanya Ekin rasa tertekan juga tetapi apa lagi yang Ekin boleh buat?

Hip: Kenapa tak berbincang dengan Mawi sebelum memberi apa-apa kenyataan?

Ekin: Bagaimana nak berbincang kerana kami tidak pernah berjumpa. Nombor telefon Mawi pun Ekin tak ada. Tak berjumpa pun banyak cerita yang keluar, bayangkan kalau kami keluar bersama. Tentu banyak lagi cerita yang bukan-bukan akan tersebar. Ekin tahu dia banyak peminat, apa saja yang dia buat akan menjadi bahan berita. Justeru, Ekin perlu berhati-hati supaya tidak timbul salah tanggapan di mata orang luar.

Hip: Kalau tidak pernah berjumpa, bagaimana Mawi boleh sampai ke rumah Ekin?

Ekin: Kebetulan kawan baik Ekin yang bekerja di Mawi World Sdn Bhd datang ke Johor Bahru dan menghubungi Ekin untuk datang beraya ke rumah. Tak tahu pula dia nak datang bawa Mawi. Apabila sampai saya sendiri terkejut kerana Mawi ada bersama. Orang datang beraya takkan saya tak benarkan dia masuk. Saya layan dia seperti biasa, macam tetamu lain walaupun pada masa itu hati dah tak sedap. Yalah di luar orang sibuk bergosip mengenai kami, alih-alih dia datang beraya ke rumah. Mahu saya tidak terkejut. Ketika itu saya cuma berdoa tidak ada apa-apa yang buruk akan berlaku.

Hip: Sempat pula dia bergambar dengan keluarga Ekin?

Ekin: Memang keluarga suka bergambar, lagi pun tiada salahnya untuk kenangan hari raya dengan tetamu yang datang bertandang ke rumah. Tak tahu pula siapa yang sebarkan kerana kebetulan malam itu ramai tetamu yang datang. Banyak lagi gambar yang diambil tetapi mengapa hanya sekeping itu saja disebarkan kepada media. Susah Ekin nak cakap mengenai hal ini. Cuma Ekin tak seronok bila orang menuduh Ekin cuba menipu. Ekin cakap yang jujur kerana memang Ekin tidak begitu rapat mengenali Mawi.

Hip: Mustahil Ekin tak ada nombor telefon Mawi?

Ekin: Tengok... Awak pun tak percaya dengan saya. Kalau betul dia ada nombor Ekin, mesti dia akan hubungi terlebih dulu. Buat apa dia nak datang ketika tetamu lain masih ramai berkumpul di rumah kami. Ekin akui terperanjat melihat Mawi datang ke rumah. Tapi itulah benda sudah jadi, bukan boleh ditarik balik. Datang beraya saja bukan ada tujuan lain. Tidak ada merisik-risik.

Hip: Selepas apa yang berlaku ini, mungkin sukar untuk orang mempercayai kata-kata Ekin. Tidak bimbang perkara itu berlaku?

Ekin: Ekin faham. Sehingga hari ini pun masih ramai yang tidak jemu menghubungi, mahu mencungkil sejauh mana hubungan kami. Ekin sudah menjelaskan duduk perkara sebenar, malah sudah meminta maaf kerana cuba berselindung sebelum ini. Orang tidak tahu tekanan yang terpaksa Ekin hadapi. Mawi terlalu popular dan Ekin tak nak peminat fanatiknya akan salah anggap hubungan kami. Percayalah, kami tiada hubungan istimewa. Hanya sebagai teman sesama artis.

Hip: Selepas apa yang terjadi, Ekin takut untuk merapati Mawi?

Ekin: Tidak apa yang nak ditakutkan. Bila berjauhan daripada keluarga, mahu atau tidak Ekin tetap memerlukan kawan untuk mengadu susah senang. Tak salah kan jika Ekin berkawan dengan sesiapa saja, cuma harap orang luar akan faham. Kalau betul kami keluar berdua, Ekin takkan berselindung. Cuma tak seronok bila isu ini dibesar-besarkan sedangkan kami biasa-biasa saja. Bukan dengan Mawi saja, dengan teman artis lain pun Ekin berkawan juga. Tetapi kenapa dengan dia saja Ekin digosipkan?

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home