Friday, December 15, 2006

Rebah uji Diana Naim sebagai penyanyi


Oleh: WANDA IDRIS (Utusan)



PENUH perasaan...Diana Naim sewaktu merakamkan lagu Rebah.




HAMPIR dua bulan berkurung dalam studio rakaman, Nordiana Naim bersyukur pembikinan album debutnya telah pun selesai pada minggu lalu.

Menggunakan judul Duhai Hati, album itu merupakan sebuah album mini yang mengandungi enam lagu.

Mengapa enam lagu?

Menurut Nordiana yang mesra dipanggil Ina, album itu lebih merupakan satu pengenalan bagi dirinya sebagai penyanyi.

“Malah dengan lahirnya album itu, saya juga mahu dikenali sebagai Diana Naim, bukan lagi Ina seperti selalu,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selain lagu Duhai Hati yang dicipta oleh penyanyi utama kumpulan Hijjaz, Munif Ahmad yang menggunakan nama Putra Aiman, lagu-lagu lain yang terkandung dalam album tersebut ialah Rebah, ciptaan Harun Ahmad, Lukisan Hati (Abai Os atau Faizal Osman yang juga merupakan anggota Hijjaz), Bersarang Di Hati dan Sempurna (Fauzi Marzuki) dan Mencari Dia (Yasin Sulaiman).

Album tersebut akan berada di pasaran mulai 18 Disember ini dan akan dilancarkan pada Januari depan.

“Mula-mula masuk studio rakaman memang saya gementar tetapi lama-kelamaan saya semakin yakin.

“Saya akui lagu pertama yang saya rakamkan iaitu Rebah merupakan lagu yang paling sukar dinyanyikan.

“Mungkin kerana itu pengalaman pertama saya memasuki studio rakaman.

“Lagi pula lagu itu memerlukan feel yang lebih. Tapi saya tidak mampu membawanya dengan baik pada awal-awal rakaman.

“Akibatnya saya terpaksa menjalani rakamannya sehingga lima kali,” cerita Nordiana yang menjadi artis naungan Hijjaz Records.

Bekas tunangan Mawi itu juga menolak dakwaan bahawa lagu yang ditulis liriknya oleh Moniz itu berkait dengan kisah percintaannya yang putus di tengah jalan.

“Bagi saya lagu itu memang hebat daripada segi melodi dan lirik malah saya tidak boleh menafikan bahawa orang akan mengaitkannya dengan diri saya.

“Tetapi terus terang saya katakan, lagu yang diilhamkan oleh abang Harun itu sebenarnya menceritakan tentang kisah kehidupannya,” kata anak kelahiran Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor itu lagi.

*Dilatih Cikgu Syafi

Lagu terakhir yang dirakamkan Nordiana ialah lagu Sempurna dan sepanjang dua bulan rakaman dijalankan, Nordiana mendapat tunjuk ajar daripada Syafizawati Sharif yang terkenal dengan panggilan Cikgu Syafi, bekas guru vokal Akademi Fantasia musim lalu (AF4).

“Saya bersyukur kerana Cikgu Syafi tidak jemu-jemu membantu saya malah dia memberitahu vokal saya meningkat dari hari ke hari,” katanya.

Menurut Nordiana, setiap kali sebelum memasuki studio rakaman, Cikgu Syafi akan memintanya memanaskan diri terlebih dahulu.

“Selalunya saya akan melontar suara dan berlatih bernafas,” kata Nordiana.

Memilih Cikgu Syafi sebagai guru vokal kerana pengalamannya, Nordiana juga mengakui, selesa belajar di bawah pengawasannya.

“Dia seorang yang sangat memahami,” katanya lagi.

PEMBIKINAN ALBUM

Artis: NORDIANA NAIM

LAGU: REBAH

CIPTAAN: HARUN AHMAD

ALBUM: DUHAI HATI

KONSEP: POP

STUDIO: STUDIO HIJJAZ, DATARAN SUNWAY, KOTA DAMANSARA, SELANGOR

DI PASARAN: 18 DISEMBER 2006

HARGA: RM12.90 (KASET) & RM19.90 (CD)

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home