Tuesday, October 03, 2006

Faizal OIAM hilang 113 buah lagu















FAIZAL (dua dari kanan) sewaktu menganggotai kumpulan nasyid Mirwana beberapa tahun lalu.

DI KALANGAN peserta program realiti televisyen One In A Million (OIAM),
Faizal Mohd. Tahir, 28, boleh dikatakan peserta yang mempunyai paling banyak
tarikan berbanding para peserta yang lain.


Jika diukur dari segi usia, contohnya, Faizal merupakan peserta OIAM yang
paling senior dan dia satu-satunya peserta program terbitan stesen 8TV itu yang
sudah berkahwin serta mempunyai seorang anak lelaki.


Faizal juga menjadi tumpuan ramai kerana beliau merupakan bekas anggota
kumpulan nasyid Mirwana yang mempertaruhkan sepenuhnya genre muzik rock dalam
pertandingan nyanyian tersebut.


Malah, OIAM dilihat sebagai gelanggang bagi Faizal menonjolkan bakatnya
sebagai penyanyi dan dia dilihat mempunyai peluang cerah menggondol hadiah utama
pertandingan itu berupa wang tunai berjumlah RM1 juta.


Selain menyanyi, Faizal juga amat berbakat dalam bidang penciptaan lagu.
Sejak bergelar komposer enam tahun lalu, dia sudah mencipta ratusan lagu
daripada pelbagai genre muzik termasuklah nasyid, pop dan rock.


Sayangnya, baru-baru ini penyanyi dan komposer berpotensi besar ini berasa
sedih kerana 113 buah lagu ciptaannya yang dirakam serta dimuatkan dalam telefon
bimbitnya lenyap begitu sahaja selepas alat telekomunikasinya itu hilang.


Dalam pada itu, Mega sempat bertemu Faizal bagi menyelongkar impian, matlamat
dan harapannya dalam program realiti TV tempatan yang menawarkan hadiah paling
lumayan itu.


Ikuti temu bual wartawan ABD. AZIZ ITAR dengan suami kepada Siti Raihanim
Noran, 24, ini di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


Mengapakah anda merakamkan 113 lagu-lagu ciptaan anda itu ke dalam telefon
bimbit?


FAIZAL: Saya rasa cara itu memudahkan saya kerana telefon bimbit saya
mempunyai ruang atau memory yang besar untuk down load (muat turun) lagu.
Kebetulan saya pula tidak mempunyai salinan yang lain. Saya pula tidak menduga
telefon bimbit saya akan dicuri orang. Sekarang ini lagu-lagu yang masih ada
dalam simpanan saya cuma sekitar 40 hingga 50 buah lagu.


Adakah anda sebenarnya mahu memberi tumpuan kepada bidang nyanyian atau
penciptaan lagu?


Sebenarnya sebelum menyanyi bersama kumpulan nasyid Mirwana, saya terlebih
dahulu mencuba bakat sebagai pengacara program TV Golden Teen Search di RTM pada
tahun 1997. Ketika itu saya baru berusia 18 tahun. Salah seorang pesertanya
ialah Dayang Nurfaizah dan dia muncul juara pada pertandingan tahun itu.


Bagaimanapun, selepas itu, saya mula berjinak-jinak mencuba bakat mencipta
lagu. Tetapi sekarang ini saya mahu mencipta nama sebagai penyanyi dan sekali
gus bergelar komposer. Saya pernah menyumbangkan sebuah lagu ciptaan saya, Cinta
Dunia, dalam album terbaru kumpulan Slam. Projek terbaru saya ialah membantu
Farihin Abdul Fatah menyiapkan rakaman album pertama penyanyi, Betty Banafe.
Cita-cita saya pada masa depan ialah saya mahu menjadi penyanyi yang popular
kerana menyanyikan lagu-lagu ciptaan saya sendiri. Saya juga mahu terbitkan
album saya sendiri.


Tidakkah imej anda sebagai penyanyi nasyid sebelum ini akan menjejaskan
penerimaan para penonton OIAM, apatah lagi anda kini tampil dengan imej rock?


Saya rasa tidak kerana sebelum ini pun ramai peminat yang sudah mengetahui
tentang latar belakang saya. Saya rasa mereka faham dan tidak ada masalah
tentang perkara itu. Saya menyertai Mirwana pun kerana kebetulan menggantikan
dua anggotanya yang menarik diri. Sepanjang tiga tahun bersama Mirwana, saya
juga sempat menimba pengalaman. Antaranya bekerjasama dengan komposer Shah
(anggota kumpulan Brothers) yang merupakan penerbit album Mirwana.


Sebagai penyanyi baru, adakah status anda yang sudah bergelar suami dan bapa
akan menjejaskan populariti di kalangan penonton OIAM?


Saya tidak fikir begitu kerana sekarang ini ramai peminat yang sudah
berfikiran terbuka. Di sini saya juga mahu membuktikan bahawa bakat dan status
adalah dua perkara yang berbeza dan tidak boleh dicampuradukkan. Kalau boleh,
saya mahu ubah mentaliti penyanyi kita yang takut peminat tidak support selepas
sudah berkahwin dan ada anak. Bagi saya, yang paling penting ialah talent
(bakat).


Selain keluarga, siapakah orang yang banyak memberi dorongan kepada anda
untuk aktif dalam bidang seni?


Bapa saya, Dr. Mohd. Tahir Abd. Rahim ialah orang yang banyak memberi
sokongan kepada saya. Walaupun bapa saya lecturer (pensyarah) kimia di
Universiti Malaya dan seorang yang kuat beragama tetapi dia memahami minat dan
kerjaya yang saya mahu ceburi. Bapa saya, misalnya, telah membantu saya membina
sebuah studio rakaman bernilai kira-kira RM30,000. Studio saya yang diberi nama
Home Suite Studio itu terletak di Ukay Perdana, Kuala Lumpur. Di studio itulah
saya banyak menghabiskan masa dengan mencipta lagu dan berlatih menyanyi.


Anda mempunyai diploma dalam bidang Komunikasi Massa dari Universiti
Teknologi Mara (UiTM). Adakah menceburi bidang nyanyian merupakan pilihan tepat
untuk anda?


Sebenarnya jiwa saya memberontak untuk menjadi penyanyi dan komposer sejak
dulu lagi. Sebelum ini saya pernah mengikuti pengajian peringkat ijazah di UiTM
dalam bidang Komunikasi Massa (Periklanan) tetapi saya ambil keputusan berhenti
belajar kerana jiwa saya lebih ke arah muzik. Saya ambil keputusan itu sebulan
sebelum pengajian saya di UiTM tamat. Ketika itu saya belajar dalam keadaan jiwa
yang tidak ikhlas walaupun gred pengajian saya baik. Malah, saya juga menerima
panggilan telefon daripada pensyarah dan kakitangan UiTM yang meminta saya
menamatkan pengajian. Saya kasihan dengan ibu bapa saya tetapi mereka akhirnya
faham. Saya yakin bahawa saya juga boleh berjaya dalam bidang seni dan itulah
yang saya mahu buktikan kepada mereka.


Sebelum itu adakah minat anda terhadap bidang muzik pernah mendapat tentangan
daripada ibu bapa anda?


Pada mulanya memang mendapat tentangan terutama daripada ibu saya. Saya
pernah mengumpul duit beberapa kali kerana mahu membeli sebuah gitar kapok.
Tetapi ibu saya telah mematahkan dan membakar gitar saya itu. Itu adalah
pengalaman yang saya tidak dapat lupakan. Sekarang ini saya mahu membuktikan
bahawa tidak semua orang yang bermain muzik itu tidak bagus perwatakannya.


Bagaimanakah boleh timbul minat anda terhadap bidang muzik?


Saya mula mendengar muzik sejak dari kecil kerana ibu bapa saya ketika itu
meminati kumpulan seperti Abba dan The Beatles. Saya juga pernah tinggal di
United Kingdom selama enam tahun kerana mengikuti bapa saya yang ketika itu
menyambung pengajiannya di peringkat Phd. (Doktor Falsafah). Ketika itu saya
masih kecil dan bersekolah tadika. Di sana saya juga mendapat pengaruh daripada
guru dan kawan-kawan sebaya yang banyak mendedahkan saya kepada dunia muzik.
Sewaktu bersekolah di tingkatan tiga, saya mula meminati muzik rock termasuk
muzik heavy metal. Sekarang ini, saya lebih cenderung kepada muzik rock dan
pengaruh paling kuat datangnya daripada Steven Taylor (vokalis kumpulan rock
dari Amerika Syarikat, Aerosmith). Selain itu, saya juga meminati kumpulan
seperti Spin Doctor, Extreme, Sting dan Queen.


Jika anda muncul juara OIAM, apakah yang akan anda lakukan pada wang RM1 juta
itu?


Saya masuk pertandingan ini kerana saya mahu mempromosikan bakat yang ada
dalam diri saya. Kalau ditakdirkan menang dalam pertandingan ini, saya mahu
gunakan duit RM1 juta untuk meningkatkan lagi pengetahuan saya dalam bidang
muzik. Saya mahu sambung belajar di Berklee College di Boston, Amerika Syarikat
dalam bidang Contemporary Music Production. Dengan pengetahuan, pengalaman dan
bakat yang saya ada, saya yakin boleh menyumbangkan sesuatu dalam industri muzik
di Malaysia.


Akhir sekali, apakah harapan anda dalam pertandingan OIAM?


Saya harap para penonton program realiti TV ini akan menyokong dan memberi
kepercayaan kepada bakat yang saya ada. Ini kerana niat saya terbabit dalam
bidang muzik adalah kerana mahu menyumbang dan membawa satu arus perubahan dalam
industri muzik tempatan. Saya mahu mengetengahkan diri saya bukan sahaja sebagai
penyanyi tetapi pada masa yang sama juga sebagai komposer dan penerbit album.
Perkara itu sudah lama dipraktikkan oleh artis-artis di Barat di mana mereka
tidak bergantung kepada seseorang komposer sahaja. Sebab itulah industri muzik
mereka cepat berkembang kerana setiap penyanyi mempunyai bakat yang
berbeza-beza.

Anda boleh komen di forum Faizal klik url http://messageboard.bluehyppo.com/viewtopic.php?p=384780#384780

2 Comments:

Anonymous Anonymous said...

My computer crashed on me, and along with it, took my itunes. i now have a new computer, but a blank itunes. but, my iphone still has all my music on it, and i was wondering if there was a way that you could upload the music on there, onto the itunes, so i don't have to start completely over again.



________________
[url=http://unlockiphone22.com]unlock iphone[/url]

3:27 PM  
Anonymous Anonymous said...

[url=http://kaufenviagragenerika50mg.net/]viagra kaufen[/url] viagra bestellen [url=http://achat-viagra-pascher.net/]viagra generique[/url] viagra pas her [url=http://comprarviagragenerico100mg.net/]viagra generico[/url] venta viagra [url=http://comprareviagragenerico50mg.net/]prezzo viagra[/url] generico viagra

8:27 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home