Thursday, September 28, 2006

Faizal jawap tuduhan liar....


Assalamualaikum...

apa khabar? harap semua ok...kepada yang berpuasa tu jangan puasa yang yok yer.....Alright semua minggu ni kebanyakkan peminat industri muzik tanahair sibuk ngan hal faizal oiam ni..termasuk laa saya..terpaksa jawap banyak soalan soalan di forum one in a million...ok baru baru ni faizal di kaitkan dengan satu gossip liar yang ntah dari mana...so untuk menjelas hal ni wartawan HIP telah menemuramah beliau baru- baru ini mengenai hal ini...semoga ngan kenyataan ini tuduhan liar ni dapat dihapuskan...selamat membaca

'Gosip halau isteri mengarut'
Oleh Zul Husni Abdul Hamid (Wartawan HIP)

Kehadiran Faizal OIAM dalam industri hiburan membuahkan hasil apabila dilamar syarikat rakaman


TEWAS namun tidak bermakna bakatnya dipandang sepi. Belum seminggu One In A Million (OIAM) berakhir, naib juara pertandingan itu, Ahmad Faizal Tahir atau Faizal sudah dilamar untuk merakamkan album.

Mungkin harapan untuk menggenggam wang RM1 juta yang ditawarkan lebur apabila menjadi milik Suki. Faizal kecundang bermaruah. Namun, langkah seni yang diukir Faizal tidak terhenti.

Lamaran yang diterima, hasil perbincangan bersama Ketua Pegawai Operasi 8TV, Ahmad Izham Omar membuka langkah baru buat bapa muda berusia 28 tahun itu. Perjalanan yang semakin menampakkan sinar tetapi pada masa sama, langkahnya turut dihambat dengan himpunan pelbagai berita negatif.

Dikatakan bergaduh dengan saingannya, Dayang Nurfaizah, malah perkahwinannya juga di ambang keretakan gara-gara Faizal lupa diri dek mengecapi kemasyhuran segera. Apabila persoalan itu diajukan kepadanya, Faizal hanya mampu tertawa.

“Dayang ialah peserta yang paling rapat dengan saya. Dia matang dan ini memudahkan saya untuk bertukar pandangan dengannya. Hairan bagaimana boleh timbul perkara ini. Malah, saya ada mencipta lagu untuk album terbarunya yang dalam proses rakaman,” kata Faizal.

Hakikatnya, apakah Faizal semakin asyik diulit keseronokan hingga sanggup menghancurkan hati insan yang tulus menyayanginya? Ke mana langkahnya selepas OIAM berakhir? Ikuti temubual Hip dengan artis baru berbakat besar ini.

Hip: Ke mana haluan Faizal selepas selesai pertandingan?

Faizal: Alhamdulillah, saya bersyukur sangat sebab walaupun tidak menang tetapi 8TV mempunyai perancangan untuk saya. Kelmarin, perbincangan mengenai album sudah dibuat. Cuma saya meminta supaya diberikan sedikit masa kerana ingin terlebih dulu menghabiskan masa bersama keluarga. Selepas seminggu, saya akan memulakan kerja produksi. Menghasilkan album bukan perkara yang mudah. Saya perlu berbincang betul-betul supaya semua pihak berpuas hati.

Hip: Tidakkah tawaran itu datang terlalu pantas?

Faizal: Saya sebenarnya langsung tidak menyangka ada pihak yang berminat. Belum seminggu OIAM berakhir tetapi sudah ada pemangkin untuk memastikan langkah saya tidak terhenti setakat itu saja. Sangkakan apabila tidak bergelar juara, tiada pihak yang berminat memberikan tawaran. Lagipun saya lahir daripada pertandingan realiti, biasanya hanya juara yang menjadi perhatian. Jadi saya tidak menaruh harapan yang terlalu tinggi.

Hip: Bagaimana jika tawaran merakamkan album tidak diberikan?

Faizal: Saya akan teruskan juga usaha untuk memastikan impian menjadi kenyataan. Memang tawaran ini terlalu pantas, apatah lagi letih tiga bulan sepanjang pertandingan itu masih belum hilang sepenuhnya. Apabila menerima tawaran itu, saya dapat rasakan usaha selama tiga bulan itu sangat berbaloi. Saya letak semua rasa letih itu ke tepi untuk berjaya. Ini pengorbanan saya untuk mencapai kejayaan dalam karier.

Hip: Sejujurnya apa yang bermain di fikiran Faizal ketika diumumkan menerima undian terendah pada permulaan pertandingan?

Faizal: Saya tidak terkejut. Apa yang ada dalam fikiran ketika itu mungkin tiada rezeki dalam OIAM. Saya akui pada mulanya agak kecewa. Bukan kerana tidak menang tetapi tidak lagi dapat membuat persembahan selepas berlatih keras untuk ke Grand Finale. Tetapi, apabila pengacara, Awal mengumumkan tiada penyingkiran pada malam itu saya terus bersemangat. Saya menjadi semakin kuat kerana tidak mahu menghampakan pihak yang memberi peluang kedua.

Hip: Langsung tidak terjejas semangat?

Faizal: Tidak. Ketika itu saya sudah tidak lagi memikirkan soal kalah atau menang. Yang penting adalah memberikan persembahan terbaik supaya mereka yang menyokong berpuas hati. Mendengar sorakan dan tepukan penonton membakar semangat untuk saya memberikan sehabis baik. Harap-harap semua berpuas hati dengan apa yang saya berikan pada malam itu.

Hip: Tidak tertekan kerana penonton meletak kepercayaan tinggi kepada Faizal?

Faizal: Apabila mendapat tahu saya mendapat undian rendah, rasa beban yang saya galas hilang begitu saja. Harapan orang ramai tentunya kepada Suki dan Alif. Namun, apabila mendengar sorakan kuat, semangat itu kembali datang. Tetapi saya tetap tidak meletak harapan tinggi untuk menang. Saya hanya mahu buat yang terbaik. Apabila membaca laporan akhbar dan mendapat timbal balas yang cukup baik, saya bersyukur kerana persembahan diterima. Tiada apa yang saya kesal walaupun gagal meraih kemenangan.

Hip: Apa kelebihan Suki untuk merangkul gelaran juara?

Faizal: Suki mempunyai pakej yang lengkap. Wajahnya yang cute membuatkan ramai suka tengok. Itu memberikannya sedikit kelebihan kerana itulah realiti industri hiburan hiburan. Lumrah kerana siapa yang tidak menyukai sesuatu yang menarik. Tetapi dia juga mempunyai bakat yang besar. Cuma mungkin usia mudanya membuatkan dia belum betul-betul bersedia untuk menggenggam wang sebanyak itu. Tapi saya percaya dengan sokongan dan bimbingan yang diberikan 8TV, Suki akan menemui apa yang dicarinya. Dia memang bertuah.

Hip: Tidak terbantut perancangan selepas wang RM1 juta itu terlepas ke tangan orang lain?

Faizal: Banyak juga perancangan yang terpaksa ditangguhkan dulu. Rasanya semua pihak tahu saya bercadang untuk menyambung pelajaran di Berklee College Of Music, Boston. Tetapi, mungkin tiada rezeki lagi tetapi saya akan tetap berusaha untuk menggapai impian itu. Apa yang membuat saya terkilan adalah tidak dapat menubuhkan sebuah pertubuhan yang mengumpul bakat baru. Saya ingin menghimpunkan mereka dalam satu institusi dan mencungkil sesuatu yang segar daripada mereka. Saya akan teruskan juga usaha ini. Wang boleh dicari dengan banyak cara. Bukan hanya melalui OIAM. Kalau memang saya nak cari duit, program realiti lain pun ada menawarkan hadiah lumayan. Tapi apa yang saya lakukan ini adalah untuk industri.

Hip: Mengapa sertai pertandingan ini kerana program realiti biasanya lebih berpihak kepada peserta muda?

Faizal: Pada usia 28 tahun, saya tidak terfikir terlalu lewat untuk mencuba. Sekurang-kurangnya saya membuktikan saya seorang yang berani untuk berdepan dengan cabaran itu. Alhamdulillah, usia tidak menjadi persoalan walaupun saya sendiri pada mulanya agak ragu-ragu dengan penerimaan khalayak. Lagipun beza undian saya dengan Suki tidak banyak, hanya lima peratus. Itu sudah jelas membuktikan rakyat Malaysia semakin terbuka dan tidak menjadikan status sebagai persoalan besar sekiranya kita berbakat.

Hip: Ramai merungut kerana undian untuk Faizal ditolak pada malam itu. Tidakkah itu menjejas peluang Faizal untuk meraih kemenangan?

Faizal: Memang kecewa dan saya rasa bersalah sangat. Kalau mampu saya ingin membalas balik apa yang mereka berikan. Tetapi saya tidak terdaya berbuat demikian. Apa yang saya boleh lakukan adalah berusaha keras memperbaiki kelemahan dan memberikan yang terbaik untuk peminat semua. Saya terima kepercayaan mereka sebagai satu amanah yang perlu dilaksanakan. Saya mahu lahir sebagai artis baru yang dapat memberikan sesuatu yang positif kepada industri.

Hip: Sedikit soalan peribadi, benarkan rumah tangga Faizal berdepan dengan masalah?

Faizal: Saya hanya mampu beristighfar apabila mendengar cerita yang bukan-bukan diterbitkan. Pada masa sama, saya melihat dugaan itu dari sudut positif kerana ini bermakna masyarakat memberi perhatian kepada saya. Terus terang saya katakan, saya jenis terbuka dan kalau betul kami berdepan dengan masalah saya akan buat pengakuan. Tetapi perkara ini tidak benar. Ada pula pihak yang tampil dan mengakui dia isteri saya sedangkan isteri saya tidak pernah buka mulut untuk memburukkan suaminya sendiri. Dia begitu sedih apabila fitnah itu keluar.

Hip: Gosip paling mengejutkan Faizal?

Faizal: Saya dikatakan menghalau isteri yang datang untuk menonton persembahan. Itu mengarut kerana isteri saya memang tidak suka berada di tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Malah untuk mendedahkan namanya di akhbar pun dia tidak selesa. Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dan dengki dengan apa yang saya lakukan ini. Barangkali mereka tidak senang dengan perubahan saya, dulu nasyid tetapi sekarang beralih ke irama rock. Biarpun beralih arah, saya tetap menjunjung imej bersih. Bukan mahu riak tetapi percayalah, saya mempunyai pegangan agama yang kuat. Hairan mengapa hanya pada saat terakhir baru perkara ini bangkit, tidak ketika permulaan pertandingan. Ini jelas menunjukkan ada pihak yang tidak senang dengan saya.

p/s: nak solat terawih ngan Faizal OIAM

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home