Monday, November 20, 2006

Rozita tidak ada lelaki berani ‘mengendeng’

Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN (Wartawan Utusan)



SUDAH lama benar hati ingin berkenalan dengan empunya diri yang satu ini dek kerana kemolekan parasnya. Entah mengapa akhir-akhir ini banyak rakan wanita saya yang menjadi ‘pemuja’ drama Melayu selalu bercakap tentang wanita yang seorang ini.

Sudah tentu cerita mereka lengkap dengan dialog melambung-lambung, memuji-muji si Juwita yang dipuja M. Nasir dalam video klipnya ini.

“Dia tu berlakon tanpa solekan pun cun juga. Jatuh hati dibuatnya,’’ kata rakan berkenaan.

Seorang lagi rakan mencelah, “yalah, macam dah lama berlakon. Cantik, macam anak dara,’’ katanya.

Itu kata hati rakan wanita, belum lain yang berlawanan jenis yang sibuk bertanyakan siapa gerangan wanita ini?

Saya Melayu jati!

Nah, minggu ini kita berkenalan dengannya. Rozita Che Wan, wanita berdarah Melayu jati, meskipun banyak yang menyangka dia mewarisi darah kacukan ibu bapa.

“Kacukan? Mana ada. Saya Melayu jati. Emak dan ayah memang orang Melayu, tak ada kacukan India ke Cina ke, jauh sekali kacukan Inggeris. Saya Melayu asli,’’ katanya dalam bahasa cukup ramah tamah.

Pertama kali kami bersua, bertentang mata dengan si pemilik ketinggian 5 kaki 7 inci.

Dengan ukuran badan 36,24,36 dia tampak menyerlah (argh, saya cemburu, sungguh).

Berasal dari Kedah, wanita ini belum sampai dua tahun usianya dalam dunia lakonan tetapi wajahnya sudah serasi di kaca televisyen kita.

Dia adalah pelakon yang sedang meningkat naik, bagaikan bunga yang sedang mekar di taman indah.

Sebelum bergelar artis, Rozita sudah meraih dunia glamor sebenarnya.

Sepuluh tahun dulu dia adalah bintang di awan biru. Tiga tahun bersama syarikat Penerbangan Malaysia, dia banyak menimba banyak pengalaman.

Dunia pramugari yang serba ‘glamor’ sebenarnya banyak memberi peluang untuk dia lebih mengenali kehidupan dan manusia lain walaupun hanya dalam masa tiga tahun sahaja.

Selepas meninggalkan kerjaya pramugari, Rozita memilih bekerja di sebuah syarikat arkitek sebagai setiausaha kerana tidak sanggup lagi terus hidup berterbangan.

Jiwa yang renyah kerana terkongkong dek jadual kerja yang menjemukan sekali lagi, membuatkan dia kemudian beralih ke dunia peragaan. Itu pun secara tiba-tiba apabila ajakan adik perempuannya untuk ke sesi uji bakat membawa tuah.

Lamaran berlakon komersial tidak sama sekali dilepaskan oleh anak kedua dari tujuh beradik ini.

“Meskipun cinta saya pada awal tertumpah ke bidang peragaan, tetapi selepas itu saya beralih ke dunia lakonan pula apabila ada tawaran.

“Pun begitu jika ada tawaran peragaan atau iklan komersial, pasti saya tidak akan menolak peluang sama sekali,” katanya.

Mana mungkin terus melupakan dunia peragaan yang sudah membawa banyak rezeki kepada hidupnya.

Bayangkan dalam tahun 2005 sahaja, dia menerima lebih 25 tawaran berlakon iklan dan pernah dibawa sehingga ke Istanbul, Turki dalam memenuhi tugasan sebagai model iklan.

Mengimbas permulaannya dalam dunia penuh glamor, Rozita bermula dalam dunia peragaan. Antara komersial yang pernah ‘meminjam’ aura wajahnya ialah Gen2, Celcom, Ambank dan banyak lagi.

Berkenaan lakonan pula, dia bermula dengan drama Cinta Terhalang arahan Shaharuddin Thamby dan selepas itu si jelita ini terus mendapat tawaran demi tawaran silih berganti.

Selain itu Rozita juga mejadikan drama Lagu Untuk Dewi yang dilakonkan bersama Zamarul Hisham dan Sesuci Cinta Sofea di samping Rosyam Nor sebagai pembuka laluan yang lebih lebar kepadanya dalam lakonan.

Berlakon bukan untuk menjerat

Sudah makin popular, dikejar pengarah dan penerbit sehingga diari harian kian terusik, tidakkah mendapat perhatian orang ternama dan popular.

Bukankah soal biasa bagi wanita cantik dan ternama akan menjadi perhatian mereka Datuk-Datuk, Tan Sri-Tan Sri malah mana-mana kerabat juga.

Diusik dengan soalan sebegitu Rozita hanya ketawa kecil.

Rozita yang memesrakan dirinya dengan Ita sahaja tersenyum membalas tanya menjelaskan setakat ini, tidak ada mana-mana lelaki berani datang ‘mengendeng’.

“Datuk mana pula ni? Tak adalah. Betul. Kalau sekadar peminat, itu saya tak tahu. Tapi niat saya jadi pelakon bukan untuk itu semua.

“Ikhlas, saya memang mahu mencari makan dalam lakonan, bukan dengan tujuan lain,’’ katanya minta dimengertikan.

Bahagia menjadi wanita cantik

Bagaimana agaknya perasaan menjadi wanita cantik? Rozita malu-malu bila saya bertanya begitu.

Tetapi kemudian katanya, “kalau orang kata cantik, cantik ke? Kalau itu satu pujian, saya hanya boleh panjatkan rasa syukur kepada Ilahi.

“Tetapi saya selalu ingatkan diri saya, ada lagi orang lebih cantik dan kecantikan tak kekal, masa muda eloklah, bila dah tua tak ke mana pun. Jadi sementara orang suka kenalah buat baik, jaga nama sendiri,’’ katanya.

Kecantikan bagi Rozita adalah aset yang dipunyai oleh semua wanita. Cuma barangkali ada wanita yang kurang menghargai apa yang menjadi milik mereka sendiri.

“Pada saya semua wanita itu cantik, mulia kejadiannya. Yang lebih penting lagi ialah kecantikan dalaman, bukan luaran kita,’’ katanya lagi.

Katanya, dia tidak mahu dianggap mengada-ngada atau perasan hebat.

Jauh sekali berkongsi cerita tentang hal-hal yang boleh membuatkan timbulnya anggapan dia mencari publisiti murah.

“Pada saya kalau ingin serius dalam lakonan hal-hal yang kurang baik wajar dielakkan. Saya ikhlas masuk dunia lakonan sebab mahu cari makan,itu saja,’’ katanya tidak mahu menyambung bualan itu.

Tak pernah terlambat

Di usia mencecah 32 tahun, dia mengaku banyak menganggap dia sudah terlalu lambat untuk mengukir nama sebagai bintang lakonan.

Pun begitu padanya Rozita akur pada masa ini persaingannya adalah dengan bakat-bakat baru yang muda belia, tetapi dalam masa yang sama tidak menolak faktor rezeki di dalam kuasa Yang Maha Esa.

Lalu untuk apa menyesal atau berasa kekurangan sementelah hidup mempunyai aturan dan nisab masing-masing.

“Kalau Tuhan kata ada rezeki untuk saya dalam bidang ini, alhamdulillah adalah. Saya tidak mahu bersaing dengan sesiapa.

“Macam yang saya cakap tadilah, saya jadi pelakon sebab hendak cari rezeki dan mulakan hidup baru,’’ kata wanita yang masih solo tanpa lelaki bernama suami ini.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home