Saturday, December 16, 2006

Buah hati Maya Karin bukan ahli politik!



Maya kini mengakui bahawa dirinya kini mempunyai buah hati
(Foto The Star Oleh T.K Lim)

Maya diapit oleh rakan-rakan media yang banyak memberi sokongan moral dan publisiti kepadanya
(Foto The Star)





Oleh Radin Sri Ghazali (Penulis MStar)



2006 merupakan tahun yang cukup mencabar buat pelakon jelita Maya Karin.

Bukan sahaja sibuk dengan bidang lakonan dan dunia pengacaraan, imej bersih Maya cuba dicalarkan dengan gosip panas dan liar. Aktres jelita ini pernah digosipkan menjalin perhubungan dengan seorang personaliti politik popular yang sudah berkahwin di Malaysia.

Mungkinkah desas desus itu akan mati dengan sendirinya apabila empunya diri membuat pengakuan yang dirinya sudah berpunya.

Pelakon berkacukan Jerman-Melayu membuat pengakuan itu di majlis sambutan Hari Lahirnya yang ke 27 tahun baru-baru ini.

"Terlalu awal untuk saya klasifikasikan perhubungan ini. Saya hanya boleh katakan yang kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing," ujar pelakon jelita itu ketika majlis harijadinya di Hotel Maya baru-baru ini.

Sayangnya kelibat orang tersayang tidakpun kelihatan di majlis Maya. Namun gelagat Maya yang sering bergayut di telefon bimbitnya seolah-olah memberi gambaran yang dia sedang bercakap dengan buah hatinya. Dan pilihan hatinya adalah bukan orang Melayu.

Bila diusik, tanpa disedari Maya tercakap bahawa buah hatinya sedang bercakap dalam bahasa Melayu.

"Dia sedang belajar bercakap bahasa Melayu..," ujar Maya tersenyum lebar setelah menyedari yang dia sudah terlepas cakap.

Ketika ditanya adakah lelaki itu daripada sektor koprat mahupun politik, Maya hanya tersenyum dan menjawab," Tidak. Dia bekerja dalam sektor pembangunan sosial. Bukan politik ya!"


Dilahirkan dengan paras rupa yang cukup menawan, tambahan pula terdedah dengan kehidupan dunia artis, ianya sedikit sebanyak membuat pelakon dan penyanyi popular ini senantiasa menjadi buruan pihak media.

Dan sudah pastinya sesiapapun lelaki yang bertakhta di hati Maya masa ini, akan gusar dengan perhatian yang diberikan oleh pihak media ataupun mana-mana pihak VVIP terhadapnya.

"Pada peringkat ini, dia belum lagi menunjukkan perasaan gusar mahupun takut terhadap perhatian yang saya terima. Maklumlah, kami masih berada di tahap awal perkenalan.

"Semua pendedahan ini agak penting untuk dia mengenali serta menyelami kehidupan saya sebagai seorang artis agar dia boleh belajar menerimanya," jelas duta syarikat telekomunikasi CELCOM ini lagi.

Tidakkah pengacara Channel V ini ingin melangsungkan perkahwinannya secepat mungkin?

"Umur 27 tahun masih muda lagi untuk bernikah. Daripada segi emosi, saya masih tidak stabil lagi. Bagi saya, usia yang ideal untuk mendirikan rumahtangga adalah 30 tahun. Jadi, saya ada tiga tahun lagi untuk menyediakan diri ," katanya lagi.

Jelitawan yang turut menjadi wajah produk kecantikan L'oreal ini juga tegas menyuarakan bahawa dia mengambil masa bertahun-tahun untuk mengenali hati budi seseorang itu sebelum dirinya jatuh cinta apatah lagi untuk berkahwin.

"Kes cerai di kalangan orang Melayu kini amat dahsyat. Saya tidak kisah kahwin lambat asalkan rumahtangga saya kekal," katanya lagi.



Bakal Primadona filem Malaysia?

Pelakon yang sudah menempah kejayaan sebagai Pelakon wanita terbaik di Asia Pasifik pada tahun 2005 ini tidak mahu terburu-buru untuk mendapat gelaran primadona filem Malaysia.

Maya tidak kisah dengan kuantiti filem lakonannya yang sedikit berbanding dengan pesaing-pesaingnya seperti Erra Fazira yang sudah pun berlakon sebanyak 30 buah filem dan Fasha Sandha yang sudah membintangi 14 buah filem.

"Saya tidak mahu terburu-buru untuk bergelar primadona," tegasnya ketika ditanya jika dia risau mengenai pembabitan filemnya yang sedikit berbanding dengan Erra dan Fasha.

Walaupun Maya kini mendapat tujuh tawaran berlakon filem, dia cuma ingin menerima dua ataupun tiga tawaran sahaja.

"Saya pentingkan kualiti daripada kuantiti. Jika saya mengambil tawaran yang banyak pada satu masa, kemungkinan besar saya tidak akan melaksanakan tugas saya dengan baik.

"Biarlah sediikit asalkan saya dapat memberi komitmen kerja dengan sepenuhnya. Saya tidak kisah kalau saya hanya bergelar primadona filem pada usia 40 tahun," tegas pelakon wanita terbaik Festival Filem Malaysia 16 menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam 1 ini lagi.

Pelakon yang menjadi tunggak utama filem arahan Osman Ali 'Anak Halal' ini ingin sekali mengikut jejak langkah dan cara kerja idolanya, iaitu pelakon filem Indonesia Christine Hakim, yang cukup berjaya dalam 'Cut Nyak Dien'.

"Dia hanya menerima satu tawaran berlakon dalam masa setahun. Namun hasil lakonannya sungguh menakjubkan. Saya mahu jadi seperti dia," ujar Maya lagi mengenai pelakon yang sudah berkecimpung dalam industri lakonan di Indoenesia selama 30 tahun itu.


Sambutan harijadi ke-27 yang cukup bermakna

Walaupun hanya ditemani ibunya, Che Zan Bt Hassan di majlis harijadinya, sambutan tetap meriah.

"Saya memang sedih kerana ayah saya serta adik-beradik saya tidak dapat menghadiri majlis ini.

"Namun, saya bersyukur kerana saya mempunyai sebuah keluarga yang penyayang, sahabat-sahabat yang baik serta pekerjaan yang baik. I have a great life!," ujar Maya ketika sesi pemotongan kek harijadi bersama-sama ibunya.

Ketika ditanya apakah hajat yang masih tersimpan sempena hari lahirnya, Maya menjawab, "Saya tidak pernah mempunyai sebarang birthday wish kerana saya merupakan seorang yang realistik. Saya takut saya akan hampa jika saya gagal mengecapi hajat atau cita-cita saya.

"Cuma saya berharap agar saya dapat menjadi seorang insan yang baik dan dapat perbanyakkan lagi kerja-kerja amal. "

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home