Aziz Sattar - Hashimah selamat diijabkabul
Oleh : Wahida Asrani (Wartawan Mstar)
SHAH ALAM: Pelakon veteran Aziz Sattar, 81,
selamat diijabkabulkan dengan pasangan pilihannya, Hashimah Delan, 48, di Masjid Negeri Shah Alam, pagi tadi.
Dengan hanya sekali lafaz, Aziz Sattar atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Aziz sah menjadi suami kepada Hashimah, yang mula dikenalinya kira-kira setahun lalu.
Hashimah berwalikan adiknya, Mohd Shukri Delan dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Khairuddin Haiyon sambil disaksikan oleh adinda Sultan Selangor Tengku Panglima Tengku Sulaiman Ibni Almarhum Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah dan pelakon Datuk Ismail Hudson.
Hashimah menerima mas kahwin sebanyak RM100 serta wang hantaran, RM 5,000. Pak Aziz juga turut menghadiahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak perempuan.
Majlis berlangsung sekitar jam 11 pagi itu diadakan secara sederhana tetapi meriah dengan kunjungan lebih 1,000 orang tetamu, terdiri daripada ahli-ahli keluarga, sanak-saudara serta rakan-rakan artis.
Antara tetamu yang hadir terdiri daripada penggiat-penggiat seni tanahair seperti Datuk Jamil Sulong, Datuk Sarimah Ahmad, Ahmad Jais dan Yusni Jaafar.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klang Datuk Zakaria Md Deros juga turut hadir memeriahkan majlis pernikahan itu. Manakala pelakon Betty Banafe dan Radhi Khalid menjadi pengapit pasangan pengantin dan majlis tersebut telah dikendalikan oleh penyanyi Nash.
Pada sidang media yang diadakan selepas itu, Pak Aziz dan Hashimah melahirkan rasa bersyukur kerana majlis pernikahan mereka selamat dijalankan tanpa sebarang masalah.
"Memang saya agak gementar sebenarnya hari ini. Maklumlah, sudah lama hidup menduda. Malam tadi pun susah nak tidur.
"Nasib baik ada ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir hari ini cuba kuatkan semangat saya," ujar Pak Aziz ceria.
Katanya lagi, dia amat gembira kerana ahli keluarga kedua-dua belah pihak menyambut baik keputusan mereka untuk berkahwin malah mendapat sokongan penuh daripada rakan-rakan artis juga.
Bagi Hashimah pula, dia sememangnya tidak menjangka akan bertemu jodoh dengan bintang filem itu setelah berkenalan dengan Pak Aziz pada satu majlis di Kuala Lumpur kira-kira setahun yang lalu.
"Saya sudah lama meminati dia, selalu tengok filem lakonan dia. Saya suka dengan karektor dia yang kelakar. Memang tujuan saya pergi ke majlis itu pun semata-mata untuk berjumpa dengan dia, setakat bergambar dan lihat dia dari dekat.
"Tapi sudah jodoh kami, saya sendiri pun tidak sangka akan berkahwin dengan dia. Dia juga ada ingatkan saya mengenai dunia hiburan ini dan minta agar saya memahami kerjayanya," kata Hashimah yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak.
Hashimah sebelum ini juga pernah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak.
Buat masa ini, pasangan tersebut masih belum merancang untuk berbulan madu, namun menurut Pak Azizi, jika keadaan mengizinkan, dia dan isteri berkemungkinan akan berbulan madu di Langkawi.
Majlis persandingan pasangan pengantin itu akan diadakan malam ini di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Karyawan.
Zaini Sattar (adik):
"Saya gembira abang saya bertemu jodoh lagi. Kami semua (ahli keluarga) datang dari Singapura semalam dengan tiga buah bas untuk bagi sokongan pada dia."
Ruzaidah Aziz (anak kedua Aziz):
"Sebelum saya berjumpa aunty (Hashimah) lagi, memang ayah sudah ceritakan tentang dia pada saya. Alhamdulillah, mereka memang ada jodoh. Kami semua adik-beradik memang setuju dengan keputusan ayah untuk berkahwin lagi."
Dian Fadilah Zainal Ariff (anak kedua Hashimah):
"Kami gembira dengan pilihan ibu. Sewaktu mereka bercinta dulu pun, saya yang selalu hantar ibu keluar dating. Selepas raya, mereka rancang untuk berkahwin, kami adik-beradik semua turut gembira."
Datuk Sarimah Ahmad (rakan artis):
"Ini satu anugerah Allah untuk Aziz supaya ada orang yang akan menjaganya sampai hari-hari terakhirnya nanti. Sebagai rakan, saya cuma harap hubungan mereka kekal hingga ke akhir hayat."
Klik untuk melihat Video Pernikahan
Sumber : Mstar
Abang Aziz lucu orangnya - Hashimah
Oleh ABD. AZIZ ITAR (Utusan)
PELAKON dan pengarah veteran Aziz Sattar, 81, bukan sahaja kelihatan lucu dalam filem-filem lakonannya tetapi keletahnya itu turut terbawa-bawa hingga ke luar set penggambaran.
Justeru, tidak hairanlah perwatakan pengarah filem Tak Kisahlah Beb (1988) ini begitu bersahaja walau di mana juga beliau berada.
Karakternya yang lucu dan mudah didekati bukan sahaja memikat hati para peminat tetapi juga Hashimah Delan, 48, ibu tunggal anak tiga yang dinikahinya pagi Sabtu lalu.
Menurut Hashimah atau lebih mesra dengan panggilan Shimah, dia tertarik dengan sifat yang dimiliki oleh Aziz biarpun pelakon itu lebih tua 33 tahun daripada usianya.
“Bagi saya, Abang Aziz memang lucu orangnya dan dia juga suka mengusik orang. Saya memang minat dengan Abang Aziz sejak empat tahun lalu.
“Malah, anak-anak saya pun tahu. Saya minat menonton filem-filem lakonannya seperti Seniman Bujang Lapok, Aksi Kucing dan banyak lagi.
“Saya meminati karakternya daripada filem-filem lakonannya itu,” katanya pada sidang akhbar sejurus bergelar isteri seniman legenda itu.
Hadir sama menyaksikan upacara itu ialah adinda Sultan Selangor, Tengku Panglima Diraja Sulaiman Shah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang, Datuk Zakaria Md. Deros.
Meskipun gembira kerana sudah bergelar isteri selepas enam tahun menjanda tetapi Shimah tidak dapat menahan sebak sewaktu majlis pernikahannya di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.
Ibu kepada Fadli Ariff, 27, Dian Fadilah, 26, dan Dian Fazura, 21, itu menitiskan air mata apabila memandang anak-anaknya yang turut menyaksikan saat penting dalam hidupnya itu.
“Ketika majlis akad nikah saya tidak dapat menahan perasaan dan menangis apabila memandang anak sulung saya (Fadli Ariff).
“Saya terasa seolah-olah saya akan berpisah dan kehilangannya. Apapun saya bersyukur kerana kini semuanya sudah selesai,” ujarnya.
Shimah pertama kali bertemu Aziz pada Julai tahun lalu pada satu acara anjuran sebuah stesen radio di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.
Pernikahan pasangan itu dengan mas kahwin RM100 dan wang hantaran berjumlah RM5,000 disaksikan oleh kira-kira 500 jemputan termasuk para peminat seniman legenda tersebut.
Bagi memudahkan orang ramai menyaksikan upacara itu, sebuah skrin besar telah dipasang di dalam Masjid Negeri Selangor itu.
Dedahkan
Sementara itu, anak kedua Aziz hasil perkahwinan pertamanya dengan Siti Rumiah, Rozaidah, 49, mendedahkan dia merupakan orang pertama yang diberitahu tentang calon isteri bapanya itu.
“Saya dan adik-beradik yang lain semuanya setuju dengan pilihan ayah. Memang sudah lama kami tunggu saat itu.
“Tetapi ada juga di kalangan cucu-cucu ayah yang kena perli apabila berita perkahwinan ayah disiarkan di suratkhabar.
“Tetapi kami tidak kisah, malah kami menyanyi beramai-ramai lagu ‘atukku kahwin lagi’ dengan si janda jelita (asalnya lagu Ayahku Kahwin Lagi nyanyian L. Ramlee),” katanya sambil ketawa.
Sanak keluarga bukan sahaja merestui tetapi memberi sokongan hubungan Aziz dengan Shimah.
Aziz yang merupakan anak ketiga daripada 10 adik-beradik juga pernah membawa Shimah ke Singapura pada bulan Ramadan lalu untuk menemui sanak saudaranya di sana.
Majlis bersejarah
Difahamkan dua buah bas disewa untuk membawa adik-beradik dan sanak-saudara Aziz dari Singapura bagi menyaksikan majlis bersejarah tersebut.
“Semua keluarga Aziz dari Singapura datang. Kami juga terpaksa menempah hampir 40 bilik hotel di Kuala Lumpur untuk memeriahkan majlis perkahwinan ini,” ujar Zaini, 72, yang merupakan adik kepada Aziz.
Selepas selesai akad nikah Aziz dan Shimah kemudiannya diraikan pada satu majlis resepsi di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur bermula pukul 8 malam Sabtu lalu.
Majlis resepsi anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) itu menjemput 500 tetamu tetapi difahamkan hampir 1,000 tetamu memenuhi ruang restoran tersebut.
Aziz selepas acara memotong pulut kuning pada akhir majlis resepsi itu melahirkan rasa syukur dan terima kasihnya kepada semua pihak yang telah menjayakan perkahwinannya itu.
“Alhamdulillah, pada malam ini saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan saya satu anugerah yang tinggi.
“Saya akan tatang anugerah ini hinggalah ke akhir hayat saya. Berjuta-juta terima kasih kepada Karyawan, Restoran Puteri, wartawan, Habsah Hassan, Rubiah Suparman dan lain-lain yang ambil berat tentang diri saya.
“Saya tidak dapat balas jasa mereka. Cuma doa saya agar Allah mencucuri rezeki ke atas mereka. Terima kasih juga kepada semua anak-anak, cucu dan cicit yang 100 peratus setuju dengan perkahwinan saya ini,” ujarnya.
Antara tetamu istimewa yang turut hadir pada majlis yang doanya dibacakan oleh guru al-Quran terkemuka tanah air, Datuk Hassan Azhari itu ialah Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Sementara artis-artis yang menghiburkan para tetamu pada majlis yang diacarakan oleh Chuari Selamat itu terdiri daripada Datuk M. Daud Kilau, Datuk Julie Sudiro, Didi (AF4), Salih Yaacob dan Bob (AF2).
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home