Sunday, January 07, 2007

Apabila Ina Naim bertemu Arni Nazira

Oleh : ZubirIntip ( Wartawan Berita Harian)


APABILA berlakunya perceraian antara Awie dan Arni Nazira pada 16 Oktober lalu, Zubir menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Arni secara peribadi, namun kesempatan itu tidak mudah dikotakan apabila Arni sukar dihubungi, apatah lagi untuk menemubualnya.

Pun begitu, apabila Zubir ke Kuala Terengganu minggu lalu menyertai siri pertama jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006, Arni muncul pada hari perasmian untuk membuat persembahan. Semuanya atas bantuan wakil Berita Harian di Kuala Terengganu, Saudara Baharom. Terima kasih Pak Baharom!

Melihat saja kelibat Arni di belakang pentas, Zubir terus menyapanya dan memperkenalkan diri.

“Kenal... Arni masih ingat kat Abang Zubir. Kan ke kita pernah buat fotografi ABPBH kat Genting Highlands. Masa tu kalau Arni tak silap, Arni sedang mengandung anak kedua, Putri Aleefa,” begitulah Arni tetap peramah, sekalipun sudah lama tidak bersua muka dengannya.

Kehadiran Arni menarik perhatian ramai pengunjung, dia terus bersalaman, menguntum senyuman dan bergambar dengan mereka. Tapi, masih terbayang pada wajahnya, kesedihan yang amat sangat. Kedua-dua anaknya, Aleeya dan Aleefa kini di dalam peliharaan bekas suaminya, Awie.

Melihatkan kesedihan yang cuba disembunyikan Arni, Zubir terus teringatkan Ina Naim yang berada di dalam bas ketika itu. Zubir terus menggandingkan Arni dan Ina dalam satu fotografi yakni menggandingkan dua hati yang sedang terluka, Arni baru bercerai, manakala Ina pula putus tunang dengan juara AF3, Mawi.

Zubir sempat bertanyakan kepada Ina, apa yang dibualkannya bersama Arni.

“Ina sempat menasihatkan Kak Arni, Ina harap dia banyak bersabar, kuatkan semangat dan cekal menempuh dugaan Tuhan,” kata Ina yang semakin petah berkata-kata.

Bukan setakat Arni saja, Zubir pun harap Ina menjadikan kata-kata semangat kepada Arni itu sebagai panduannya sendiri, mudah-mudahan dia tidak terus berduka mengenangkan kisah lama. Zubir juga berdoa Arni dapat bertemu dengan anak-anaknya sedikit masa lagi, sekurang-kurangnya untuk melepaskan rindu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home