Saturday, February 10, 2007

Lambaian Grammy



Lambaian Grammy
Oleh Farihad Shalla Mahmud (wartawan HIP)

Penyanyi Siti Nurhaliza akan berjalan di atas permaidani merah bersama artis tersohor dunia

TIDAK pernah terlintas pada fikiran penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza bahawa satu hari nanti impiannya untuk menyaksikan majlis anugerah muzik terbesar dan paling berprestij di pentas antarabangsa, Anugerah Grammy bakal menjadi kenyataan.

Dan siapa sangka kemenangannya meraih anugerah Selebriti Pakaian Terbaik ketika menghadiri majlis khas Breakfast With The Stars anjuran Star Movies tahun lalu memberinya peluang untuk bergesel bahu dengan karyawan muzik Hollywood yang selama ini hanya mampu dilihat menerusi televisyen.

Berkongsi perasaan bersama pihak media petang Rabu lalu, Siti berkata apa yang dia peroleh itu ibarat satu keriangan berganda buatnya.

“Siti memang gembira sangat apabila mendapat tahu Siti akan ke Anugerah Grammy kerana itu memang impian Siti sejak dulu lagi. Dan lebih menggembirakan, Siti bukan sekadar menonton tetapi juga berpeluang berjalan di atas permaidani merah bersama selebriti Hollywood lain. Jadi, persiapan untuk majlis itu kena lebihlah,” ujarnya yang akan menggayakan busana berkonsepkan fusion hasil rekaan Datuk Bernard Chandran.

Mengulas penampilannya pada majlis itu, Siti berkata konsep fusion iaitu gabungan Timur dan Barat dipilih kerana ia bersesuaian dengan imejnya dan juga majlis yang bakal dihadiri itu nanti.

“Sebelum mencapai kata sepakat, Siti, suami dan Bernard ada berbincang konsep yang bagaimana ingin kita tonjolkan. Tetapi Siti lebih memberi kebebasan kepada Bernard kerana dia tahu apa yang terbaik untuk Siti.

“Dari segi warna, Siti memilih gabungan hitam dan putih dan rekaannya agak konservatif iaitu bermotifkan kerawang. Namun ciri-ciri moden tetap ada. Siti juga akan menggayakan aksesori tajaan Chopard,” ujar penyanyi kelahiran Kuala Lipis.

Ditanya siapakah yang bakal menemaninya ke majlis itu, Siti berkata selain krew produksi dari Star World, dia akan diiringi suami, jurusolek kegemarannya, Nurul Shukor serta pengurus produksi dari syarikatnya, SNP Productions, Paul.

“Untuk acara permaidani merah nanti mungkin hanya Siti seorang saja kerana suami Siti tidak bercadang menyertainya,” ujarnya sebagai mengulas pertanyaan apakah suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa akan menemaninya untuk acara permaidani merah.

Paling menarik, kunjungan Siti di sana juga akan disiarkan secara eksklusif dalam program Popparazzi di saluran Channel {V} pada hari Khamis, 22 dan 26 Februari depan.

“Kiranya mereka akan menyiarkan rakaman perjalanan Siti dan ahli rombongan mulai dari Siti sampai di Los Angeles hinggalah Siti pulang. Macam program di sebalik tabir,” jelas Siti yang akan bertolak ke Los Angeles esok dan akan berada di sana empat hari sebelum meneruskan percutian bersama suami di sebuah destinasi yang dirahsiakan.

“Siti akan berada di Los Angeles sampai 14 haribulan sebelum meneruskan percutian. Siti akan kembali semula ke tanah air pada 20 Februari depan.

“Kalau anda tanya apakah Siti akan meraikan Hari Memperingati Kekasih di sana, jawapannya mungkin, tetapi itu tidak termasuk di dalam agenda utama Siti dan suami,” jelasnya yang cukup jelita biarpun bergaya ringkas.

Walaupun di Malaysia dia penyanyi nombor satu, namun Siti tidak malu mengakui dia juga insan biasa yang meminati artis lain.

“Harapan Siti, pada majlis itu nanti Siti akan bertemu dengan penyanyi kesayangan Siti iaitu Celine Dion dan juga Beyonce serta Justin Timberlake.

“Kalau dapat jumpa Siti takkan berkata apa-apa hanya minta autograf dan bergambar bersama. Itu saja,” ujar Siti yang akan membawa bersama albumnya untuk diagih-agihkan di sana.

Rakam album tradisional

KALI terakhir Siti muncul dengan album berkonsepkan tradisional adalah kira-kira lima tahun yang lalu menerusi album Sanggar Mustika. Dan sejak itu, Siti hanya menumpukan perhatiannya terhadap album berkonsepkan pop.

Enggan membiarkan peminatnya terus menanti, penyanyi ini bakal muncul dengan album tradisional yang kini masih dalam peringkat mengumpul material daripada pelbagai komposer terkenal.

“Untuk album ini Siti sudahpun mendapatkan khidmat pelbagai komposer antaranya komposer Indonesia, Katon Bagaskara, Ayub Ibrahim, Pak Ngah dan juga Datuk Ahmad Nawab.

“Siti juga sedang mencari pasangan sesuai untuk berduet menerusi lagu yang dicipta Katon,” kata Siti yang turut melahirkan hasrat untuk menghasilkan sebuah album Inggeris sempena ulang tahun ke-12 kehadirannya dalam industri seni tanah air.

“Untuk permulaan Siti akan menghasilkan single terlebih dulu. Kalau diberi peluang, Siti ingin bekerjasama dengan komposer David Foster,” ujar Siti meluahkan impiannya.

Labels: