Inikah “tragedi Oktober’’ Awie?
Inikah “tragedi Oktober’’ Awie?(Utusan Malaysia)
AWIE hiba di sidang akhbar khasnya.
Agaknya Oktober memangnya bulan tragedi kepada artis yang satu ini. Khabarnya kira-kira sepuluh tahun lalu sesuatu berlaku kepada Awie dan kekasihnya (Watie atau Erra Fazira, kalau tak silap saya).
Itulah yang membawa kepada terhasilnya lagu Tragedi Oktober. Dan 16 Oktober lalu, Awie dan isteri pertamanya, Arni Nazira telah bercerai. Perkahwinan pasangan ini tidak dapat diselamatkan lagi setelah Awie memilih untuk berpoligami.
Setahun lalu dalam ruangan yang sama ini, saya pernah bertanya kepada Awie apakah dia berminat untuk berkahwin dua? Jawab Awie, ‘no komen’ sambil tersenyum simpul.
Tetapi melihat jauh ke dalam anak matanya ketika kami bertemu bual Awie pada saya ada potensi untuk mengamalkan poligami itu.
Dan telahan itu benar apabila awal tahun 2006, tersebar gambar perkahwinan barunya dengan adik kepada pelakon Haliza Misbun, Rozana Misbun di Thailand. Awie masa itu sukar dijejaki media. Bertemu di mana-mana majlis dia lebih senang mendiamkan diri atau menjawab dengan ayat yang nakal “I love you” kepada semua wartawan yang bertanya.
Itulah Awie. Ada kalanya dia serius dalam ketawa, tak kurang juga ketawa dalam serius. Maka apabila dalam sidang akhbar khasnya baru-baru ini Awie tiba-tiba menangis hiba di depan rakan media, saya tidak tahu untuk reaksi bagaimana?
Saya tidak tahu mahu turut ikut sama bertakung air mata, atau tidak memberikan sebarang reaksi?
Kawan di sebelah membuat ulasan selari “Mat bunga juga Awie ni ya,’’ dan saya mengakui ada benarnya.
Tolong Jawab minggu ini saya petik beberapa soalan yang boleh tahan juga ‘laser’nya kami tujukan kepada Awie dalam sidang akhbar itu.
Apa yang buat Awie adakan sidang akhbar ini?
Saya kesal dengan kenyatan demi kenyataan yang menghentam saya. Mentang-mentanglah saya diamkan saja, makin menjadi-jadi pula.
Siapa yang Awie maksudkan?
Kenapa sampai tergamak ibu mentua saya (emak Arni) sampai kata macam ini? (sambil menunjukkan keratan akhbar KOSMO!). Apakah saya seorang yang terlalu kejam? (Awie mula menangis). Dua tiga hari saya begini. Bukan saya minta belas kasihan. Tetapi hari ini saya sudah mencemar duli saya, walaupun tidak berdaulat. Ini satu tohmahan yang dahsyat yang tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang bergelar ibu yang saya hormati, saya sayangi. Saya membela cucunya dan anaknya sebelum ini selama lapan tahun. Bila saya ditohmah, ada sesetengah limit yang saya pertahan. Dulu saya pernah putus tunang, tetapi sepatah pun tidak pernah keluar dari mulut saya sebab saya tak suka tayang kepada masyarakat. Tetapi saya terus ditohmah, dihina dan dicerca. Saya manusia biasa (menangis lagi). Saya mahukan masyarakat, mahu kehidupan. Mahu besarkan anak-anak saya. Anak saya sudah boleh membaca dan faham. Sampai bila cerita-cerita tak baik ini akan terus dihadapkan kepada saya? Cerita-cerita ini hanya menyebelahi sesuatu pihak. Yang buruk semuanya datang dari saya, yang baik hanya orang lain.
Benarkah perceraian ini kerana pernikahan kedua Awie?
Saya bernikah baru bukan untuk bercerai. Saya mahu bina satu penghidupan dan mencari keredaan kasih sayang dunia akhirat. Karangan hidup saya sudah tertulis sampai ke 16 Oktober 2006 di situ titik terakhir saya bersama dengan Arni Nazira. Saya tiada niat pada hari itu untuk datang melafazkan cerai, tetapi datang untuk sesi hakam sahaja.
Jadi, apa sebab utama perceraian?
Kalau saya hendak ceritakan sebab, bukan saja Arni yang akan menuntutnya tetapi mungkin saya juga yang akan menuntut cerai. Adakah dengan satu perkara yang timbul maka dia sudah boleh menuntut cerai. Dengan lapan tahun perkahwinan, adakah cerai jalannya? Kalau dia fikirkan soal tuntutan dia, tuntutan saya bagaimana? Mana dia letak? Kesilapan dia saya reda saja. Saya terima, saya baiki diri saya dengan membina kehidupan saya yang lebih mulia. Tetapi di mana mereka letakkan kebaikan saya selama ini. Adakah selama lapan tahun itu semuanya buruk?
Adakah Awie mengelak untuk bercerai pada awalnya?
Saya elak sedaya upaya. Cerai dihalalkan oleh agama, tetapi dilaknat oleh Allah. Kalau saya diangkat sebagai kaki perempuan, jahat dan sebagainya saya sudah tentu tak akan segan silu untuk kahwin cerai, kahwin cerai. Saya hendak anak saya dibesarkan oleh ibunya besarkan mereka sama-sama. Sebab itu saya ambil langkah sedemikian rupa (berkahwin lagi satu). Dalam perjalanan selama lapan tahun macam-macam hal berlaku. Baik puncanya saya atau dia, tetapi saya bertahan terus. Kalau bukan dia terlalu mendesak ia akan terus bertahan. Cerai bukan sebab pihak ketiga pun, tetapi dia yang hendak.
Kenapa baru sekarang Awie mengaku fasal kahwin dua ni?
Saya tidak pernah menafikan kepada sesiapapun. Tidak. Saya berdiam diri dan semua orang tahu. Perkahwinan yang suci, yang mulia yang dijalankan dengan cara yang betul. Hal tu tak payah tanya banyaklah. Saya akan buat satu majlis.
Maknanya sebelum perkahwinan baru ini pun Awie sudah ada masalah dengan Arni?
Ini semua saya ambil iktibar dari bapa mentua saya Pak Misbun. Kata dia, tak ada manusia boleh melawan takdir. Takdir, pertemuan semuanya sudah ditentukan. Maka terjadi perkara suci itu, perkahwinan saya yang baru. Cuma perkara ini tidak diberitahu (kepada isteri tua). Saya ambil langkah ini (berkahwin lagi satu) sebab saya mahu mengelak dari bercerai (dengan Arni). Keduanya kerana saya mahu atasi perkara lain seperti maksiat dan sosial. Insya-Allah. Bila berlakunya benda elok jadi saya tidak rasa lagi segan silu dan saya bawa dia ke mana-mana saja. Tapi bila sebut nama Awie saja macam-macam orang akan kata. Tak cukup dua, tiga bininya. Apa tak cakap sepuluh saja?
Awie mahu berkahwin semula untuk mengelakkan cerai, tetapi sebaliknya berlaku. Bagaimana tu?
Sebab sekarang hal ini berlaku (perceraian) adalah kerana ada manusia yang tidak bertanggungjawab. Yang mengeluarkan macam-macam kenyataan. Lagi satu yang pergi ke rumah dan hantar berita tu kepada dia (Arni). Kalau itu dikatakan kawan, ia bukan kawan, itu syaitan namanya. Kita kena percaya kepada qadak dan qadar. Benda ini semua urusan Dia. Tapi bukan bermakna saya boleh kahwin sesuka hati, tiga ke, empat ke. Saya memang tidak berniat untuk melafazkan, tetapi apabila dia dengan sesuka hati memintanya. Saya kena lafaz supaya tidak dapat gelaran dayus. Dia sudah hentikan keinginan saya (untuk mempertahankan perkahwinan) kerana dia terlalu mendesak. Dia mendesak saya supaya jatuh talak. Saya rasa macam saya seolah-olah saya tidak berguna, saya hampas, saya lelaki yang tidak pernah ada tanggungjawab, tak ada kasih sayang. Dengan bergetar dan longlainya saya, saya terpaksa akui inilah kehendak-Nya (perceraian).
Adakah Awie menggunakan anak sebagai ‘senjata’ untuk halang perceraian?
Siapa yang tidak sayang anak? Lapan tahun yang saya bina tak ada sedikitpun kami membina kasih sayang ke? Baik kepada isteri, kepada suami atau anak? Perkara yang saya buat bukanlah satu jenayah. Kalau saya keluar murtad ke, buat jenayah besar ke lain cerita. Adakah benda yang saya buat ini tidak boleh dimaafkan? Adakah saya meninggalkan tanggungjawab saya sebagai seorang bapa, seorang suami? Saya tak pernah abai tanggungjawab. Apa yang dia (Arni) hendak semua saya bagi. Wang ringgit saya bagi, rumah saya sediakan. Makanan, baju-baju semua ada. Apa lagi yang dia hendak? Hendak pencuci muka beribu saya belikan, tak juga cantik-cantik. Macam itu juga muka dia. Saya hanya menjalankan tugas sebagai lelaki. Apa hak saya sebagai lelaki dan suami saya jalankan dengan sebaik mungkin. Kalau Allah kata sesuatu tu dia izinkan, berlakulah. Kita hanya merancang. Macam dulu lima tahun bertunang (dengan Erra Fazira), bercinta bagai nak rak pun tak jadi juga. Akhirnya dia kahwin bercerai, saya kahwin pun bercerai.
Bagaimana penerimaan anak-anak?
Anak saya cukup memahami. Anak saya tidak ada membezakan kasih sayang antara yang nombor satu atau nombor dua. Dia bijak sangat. Tak pernah cerita buruk mana-mana pihak.
Bagaimana hak penjagaan anak?
Itu yang saya pelik. Anak adalah tanggungjawab ibu tapi dia bagi kat saya. Saya pelik apakah mengejar satu cita-cita lain selepas bercerai? Atau telah menanam cita-cita semasa dalam perkahwinan? Wallahualam. Itu yang membuatkan saya dengan linangan air mata membuatkan saya lafaz benda itu sebab saya tidak mahu membuat dosa. Saya kesal. Saya kesal sebab selama ini menaruh harapan yang sangat baik kepada pihak dia. Saya menaruh hanya yang baik. Maklumlah dia datang dari keluarga belah pantai timur yang lebih kepada keagamaan. Tetapi apabila perkataan ‘syukur Arni dah bebas’, itu saya kesal sangat. Apa selama ini dia duduk dalam penjara ke? Seolah-olah saya tidak bertanggungjawab, itu yang saya kesal sangat.
Sebagai ibu Arni ada hak untuk dapatkan semula hak penjagaan anak. Bagaimana kalau itu berlaku?
Saya mahukan bukti. Bukti tanggungjawab, bukti kewajipan seorang ibu. Kalau selama ini dia bagus, kenapa hak penjagaan anak dia berikan kepada saya? Awak hendak tinggalkan anak awak?
Bagaimana keadaan Arni sekarang? Awie tahu tak ?
Dia sihat. Masa di mahkamah pun ceria. Tak ada apa-apa masalah. Dan si ‘mamat’ ni pula yang sedih (dia sendiri). Sebab itu saya sangat kasihan dengan mamat ni. Dalam mahkamah pun dia ketawa-ketawa dengan peguam dia. Saya rasa kasihan. Saya dalam keadaan yang genting, sedih dan kecewa dia gelak saja. Ya Allah! Itu yang saya rasa begitu keliru. Dalam perceraian janganlah dok asyik salahkan sang lelaki saja. Sang lelaki saja harimau. Sang betina juga kadang-kadang lebih dari harimau, sekali dia mengaum huh, takut (ketawa).