Sunday, January 14, 2007

`Macamlah Ikin ni sengkek sangat!'


Oleh Zubir Mohd Yunus(Wartawan Bintang Popular)

"KADANG-KADANG timbul juga rasa malu apabila kali kedua kita bertemu. Tentu Ikin ada cerita kontroversi, cerita yang tak sedap kita dengar. Tapi, cerita seumpama ini bukan Ikin minta.

Apa yang terjadi ini adalah terlalu peribadi. Gara-gara sekeping cek, membuatkan hidup Ikin sekarang huru-hara. Apabila berlakunya perkara seumpama itu (Ikin terima cek daripada Mawi), seolah-olah orang luar melihat macamlah Ikin `sengkek' sangat. Hanya tahu menghabiskan duit orang untuk kepentingan peribadi!

Ikin ni perempuan, ada keluarga, nanti orang luar akan ingat lain, beri tafsiran macam-macam. Orang akan beranggapan, Ikin berkawan dengan Mawi, hanya nak duitnya saja. Orang akan fikir benda-benda negatif saja. Tapi, apa yang paling Ikin kesalkan, nilai cek yang tak sampai RM10,000, kecohnya macam Ikin terima RM100,000!

Itupun kerana kiriman barang daripada Mawi, bukannya Mawi kirim cek untuk kegunaan peribadi Ikin! Ikin beli dulu barang-barang yang Mawi pesan di Singapura, lepas tu Mawi bayar balik guna cek tu. Kebetulan Ikin berada di Johor menjenguk adik yang sedang sakit, langsung ke Singapura kerana tengah big sale!

Tapi, Ikin yakin, apa saja yang Ikin jelaskan di sini, orang tetap tak nak percaya. Orang tak habis-habis mengata yang Mawi tu sugar daddy Ikin, bagi duit, bela Ikin! Biasalah kalau sugar daddy dah bagi duit kat orang perempuan, pasti mereka nakkan balasannya.

Sampai berbuih mulut Ikin terangkan perkara sebenar, orang tetap tak akan faham. Orang luar akan terus-terusan beranggapan yang Mawi bagi duit pada Ikin sebab dia inginkan `sesuatu' daripada Ikin! Semua itu tidak benar! Maruah diri dan keluarga Ikin benar-benar tercalar, Ikin tertekan!

Apabila kita bercakap perkara yang benar, orang tak nak percaya. Mereka tetap buat tafsiran sendiri. Sekarang ni Ikin dah jelaskan perkara sebenar. Kalau orang di luar sana masih tak nak percaya, tetap buat andaian sendiri, terpulanglah.

Apa yang Ikin tahu, Ikin ikhlas tolong Mawi beli barang-barang untuk dirinya. Ikin tahu Mawi pun ikhlas nak berkawan dan dia pun percayakan Ikin."

Kerja jahat orang dalam?

"MEMANG masa Mawi bertandang ke rumah Ikin pada malam hari raya itu, kami belum kenal rapat. Tapi, selepas tercetusnya kontroversi apabila gambar Mawi dan Ikin sekeluarga tersebar di Internet, kami jadi kawan baik. Mawi banyak beri nasihat pada Ikin, dia minta maaf, gara-gara gambar berkenaan, Ikin terkena tempiasnya.

Ekoran dari kontroversi berkenaan, perkenalan kami semakin rapat, kami berbalas-balas SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) seperti orang lain juga. Biarlah Ikin berterus-terang, buat masa ini Mawi adalah teman rapat Ikin.

Atas dasar persahabatan dan keakraban kami itulah, Mawi tak ada masalah dengan Ikin, dia percaya pada Ikin. Ikin akui, kalau kami tak rapat, takkan Mawi sanggup kirimkan cek pada Ikin untuk beli barang keperluannya.

Buat masa ini Ikin tak salahkan siapa-siapa di atas apa yang berlaku termasuk pihak media yang mendedahkan perkara ini. Pihak media hanya menjalankan tugas mereka.

Tapi, apa yang membuatkan Ikin tertanya-tanya, bagaimana segala maklumat yang tertera pada cek berkenaan, boleh terkeluar dari bank berkenaan dan sampai ke tangan media? Ikin ada terima cek yang pertama daripada Mawi, November, masa tu Mawi kirim jam.

Tapi, maklumat cek yang pertama itu tak terlepas ke tangan orang luar, hanya cek yang kedua kiriman Mawi bertarikh 8 Disember, Ikin tak faham bagaimana maklumatnya boleh jatuh ke tangan orang luar sedangkan Ikin mendepositkan cek berkenaan menerusi mesin deposit di sebuah bank di Mutiara Damansara.

Dari situ, Ikin tak tahu bagaimana prosesnya, sehingga maklumat cek berkenaan boleh terlepas ke tangan orang luar, akhirnya dihidu pihak media. Apa yang menghairankan, Ikin mendepositkan cek berkenaan menerusi mesin, bukannya berurusan di kaunter!

Justeru, perkara seumpama ini terlalu peribadi. Takkan Ikin terima cek daripada Mawi, Ikin nak beritahu semua orang. Mawi kirim barang pada Ikin, Ikin kena buat sidang media! Umpamanya warna pakaian dalam kita, takkan nak beritahu kepada orang luar!

Sedangkan adik kembar Ikin sendiri, Ain, tak tahu berapa jumlah simpanan duit Ikin di dalam bank sebab itu terlalu peribadi! Jauh sekali Ain dapat tahu nombor akaun Ikin, tapi apabila maklumat cek berkenaan terlepas ke tangan media, mereka sampai tahu segala-galanya!

Justeru, buat masa ini Ikin tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Biarlah Ikin membuat siasatan dalaman dulu. Apabila dah dapat bukti, baru Ikin berani cakap siapa yang bertanggungjawab. Ikin juga ada menerima panggilan daripada pihak peguam untuk membantu, tapi biarlah Ikin selidiki dulu perkara sebenar.

Mawi sendiri terperanjat dengan perkara ini dan dia menasihatkan Ikin supaya bersabar dan jangan ambil sebarang tindakan mahkamah. Mungkin ada berlaku kesilapan sehingga maklumat cek berkenaan terlepas ke pengetahuan pihak luar. Mawi kata, jangan buat sebarang andaian, mungkin ada sebab terjadi begini.

Ikin yakin, suatu hari nanti, lambat laun akan terbukti juga siapa yang bertanggungjawab. Ikin hanya perlu bersabar dan berserah pada Tuhan."

Info Ikin Rahmat:

Nama sebenar ialah Nora'sikin Rahmat atau Ikin, 27, dan dilahirkan pada 5 November. Ikin berasal dari Johor Bahru dan anak kedua dari lima beradik yang kesemuanya perempuan. Dia mendapat pendidikan sehingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Johor Bahru.

Sebelum menceburi dunia lakonan, Ikin pernah membuka butik pakaian pengantin, Nuit De Nose, namun ia sudah pun ditutup apabila dia mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur.

Mula dikenali sebagai pelakon apabila membintangi drama TV bersiri pertamanya, Kawan terbitan ACE Motion Pictures yang pernah disiarkan di TV3, baru-baru ini. Ikin berlakon bersama adik kembarnya, Nora'ain Rahmat (Ain).

Ikin juga baru mendapat tawaran sebagai model dan juru cakap sebuah produk kecantikan terkenal selama setahun.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home