Apek jawab tohmahan terhadapnya
Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH (Wartawan Utusan)
EKSKLUSIF
“MEMANG saya belajar ilmu sesat tapi ilmu sesat di hutan dan memang saya meninggal tapi meninggalkan Malaysia,” demikian gurau Apek menjawab cerita negatif dirinya yang ‘berhijrah’ selama tiga minggu di Jakarta, Indonesia.
Lewat tahun lalu, kecoh sekejap apabila Apek, 37, dilaporkan sakit misteri iaitu demam panas berpanjangan selama setahun.
Dan pastinya selepas itu, macam-macam cerita negatif yang sampai ke telinga wartawan. Menurut mereka, Apek bukan sakit buatan orang tapi buatan sendiri iaitu penyalahgunaan dadah.
Belum habis cerita Apek ‘lalok’ dengan dadah, timbul pula cerita dia mengamalkan ilmu hitam. Cerita kelakar juga muncul tiba-tiba. Apek kahwin lari.
Namun akhirnya Apek atau nama sebenarnya Saifulazam Mohamed Yusoff tampil memberi penjelasan tentang perkara sebenar yang menimpa dirinya.
Ternyata semua cerita negatif itu tidak benar sama sekali. Seperti kata Apek, jangan kerana dia berambut panjang dan `kurus keding’, orang boleh melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya.
Apek pulang ke tanah air meratapi berita sedih apabila bapa tiri dan rakan baiknya meninggal dunia.
Bersimpati dengan Apek, soalan perlu juga dikemuka kenapa dia ke Indonesia hanya tiga minggu dan bukannya tiga bulan seperti heboh di dada akhbar sebelum ini. Siap faks ke semua pejabat media sebelum pergi berubat.
“Banyak faktor yang menghalang. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang tetapi selalunya banyak perkara yang tidak terjadi.
“Contohnya masalah teknikal yang melibatkan syarikat saya, Gitu-Gitu Production Sdn. Bhd.
“Sukar untuk meninggalkan urusan pejabat dalam jangka masa terlalu lama,” kata Apek mula bercerita.
Kata Apek, dia pergi seorang diri ke Indonesia dan seluruh ahli keluarganya merestui pemergiannya itu.
Soalan yang wajib ditanya. Apek sudah pulih sepenuhnya? Pantas dia memegang tangan saya. Panas lagi, terdetik di hati.
“Belum pulih lagi ke?” soal kembali kepadanya. Apek membalas sambil mengukir senyuman, “Alhamdulillah. Keadaan lebih baik daripada sebelumnya. Tapi saya percaya setiap penyakit ada ubatnya. Doktor sudah pun periksa. Memang tiada penyakit berbahaya seperti kanser, tibi, leukemia dan HIV.
“Jantung dan paru-paru pun tiada masalah. Cuma doktor cakap buah pinggang saya ada sedikit masalah kerana kekerapan mengambil ubat demam. Tapi sekarang sudah okey.
“Apa pun saya akan terus berikhtiar mencari penawar terhadap demam saya yang berpanjangan ini,”
Bapa kepada dua anak lelaki ini turut mencuba perubatan tradisional. Namun jelas tidak menunjukkan tanda-tanda dia mangsa buatan orang yang dengki khianat.
*Demam sejak 2005
Umum barangkali tidak mengetahui penyakit misteri Apek bermula dengan simptom demam berpanjangan sejak Aidilfitri 2005. Akibatnya badan Apek panas setiap masa walaupun fizikalnya kelihatan ceria dan mampu meneruskan karier seninya.
Namun ada waktunya tahap kesihatan diri Apek terlalu lemah dan menyebabkan pelawak popular ini tidak mampu bangun serta terlantar di atas katil.
“Penyakit ini memang mengganggu jadual seni saya dan saya akur dengan ketentuan takdir. Tapi saya tidak mahu penyakit ini mengganggu komitmen orang lain.
“Misalnya bila terlibat dalam penggambaran filem, ia mengambil masa yang lama. Belum masuk dengan dubbing (proses memasukkan suara) dan promosi lagi. Inilah risiko yang saya hadapi jika berterusan ditimpa penyakit misteri ini,” ujar Apek yang selesa memakai kaca mata hitam sepanjang kami berborak santai di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sempat ditanya apa penyakit Apek sebenarnya? Rata-rata doktor dan pakar tradisional kata Apek memberi jawapan yang sama iaitu dia terlampau kuat bekerja dan tidak menghiraukan kesihatan diri.
“Oleh itu mulai tahun ini saya akan kurang bekerja supaya tidak membebankan diri sendiri. Saya perlu kasihan pada diri saya selepas ini,” kata Apek penuh harapan.
Justeru perancangan tahun baharu, Apek rancak menyusun jadual untuk bekerja pada hujung minggu sahaja.
“Saya akan menumpukan pada beban kerja yang kurang seperti majlis makan malam dan acara karnival keluarga. Ini kerana pada masa sama, saya masih dapat menyumbang kepada masyarakat melalui karier seni saya,” jelas Apek yang tetap nampak kurus seperti dulu.
*Kembara Apek ke Kalideras, Jakarta
Apek nekad meninggalkan tanah air tercinta seorang diri pada 30 November tahun lalu. Tanpa isteri dan dua anak lelakinya, Apek berkelana di bandar Jakarta selama dua hari kerana mencari rumah ibu saudaranya.
Menjejaki alamat itu, Apek bergegas ke sebuah perkampungan di pinggir Jakarta yang dikenali Kalideras.
Kalideras merupakan sebuah perkampungan yang sedang membangun. Namun masih mengekalkan nilai-nilai kehidupan tradisional bersama pemandangan yang mempesonakan.
Di sana Apek bertemu dengan ibu saudaranya bernama Cheng Aji yang berumur 103 tahun. Bersama pakciknya pula Haji Mokhsin, seorang ahli agama yang disegani, Apek disaran menjalani kaedah terapi merawat penyakitnya.
Pada masa sama, Apek turut berjumpa ulama dan tabib bagi mengenalpasti penyakit misteri itu. Jawapan mereka, Apek bebas daripada penyakit buatan orang malah diakui pula seorang manusia yang disukai ramai kerana karakter kelakar.
Namun apa yang membuatkan diri Apek bahagia apabila dapat kembali menjalani kehidupan Muslim dengan sempurna. Itulah terapi Apek.
Sembahyang lima waktu menjadi faktor jiwanya memperoleh ketenangan yang dicari sepanjang 13 tahun bergelar anak seni.
Menjadi orang biasa, masyarakat Kalideras tidak mengenali Apek iaitu pelakon, penyanyi dan pelawak popular Malaysia. Apek bebas bergerak ke sana sini bersama kasut rodanya. Tiada lagi tidurnya yang kurang akibat berjaga malam, selain makan minum yang sempurna disediakan.
*Jumpa Gus Dur
Langsung tidak pernah terlintas di fikiran Apek dapat berjumpa bekas Presiden Indonesia, Gus Dur atau nama penuhnya Abdul Rahman Wahid. Apa yang mengharukan Apek ialah jemputan itu datang daripada seorang pemerintah yang pernah menjaga penduduk sejumlah 270 juta orang.
Pertemuan hampir sejam itu meninggalkan kesan mendalam buat Apek. Kata Gus Dur di hujung perbualan, masyarakat Indonesia tidak mahu meniru Malaysia tetapi ingin mencontohi kejayaan Malaysia.
Apek percaya kata-kata itu mempunyai hubung kait dengan dirinya apabila orang mula memperkatakan lawaknya yang stereotaip dan bodoh. Hikmah bagi Apek, dia akan terus menjadi dirinya sendiri yang selama ini membawanya ke puncak kejayaan.
Sempat mengenali pemuzik di sana, Apek menyanjung tinggi penghormatan yang diberikan kepada kumpulan rock di Malaysia.
Lantas terfikir di benak hati Apek mengapa perlu timbul isu tidak puas hati kemasukan band Indonesia ke Malaysia. Pendapatnya mudah kerana seni hiburan itu perlu dihidangkan berwarna warni agar peminat mendapat apa yang diinginkan.
Justeru Apek berharap isu berat sebelah dan iri hati tidak wujud lagi di kalangan pemuzik tanah air. Dia beranggapan muzik itu untuk semua orang.
Jelas pengalaman bersama pemuzik di sana mencetuskan idea baharu buat Apek bagi mengembangkan karier seninya.
Akhirnya Apek selamat pulang ke tanah air dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha. Tiga minggu di sana ibarat Apek menuntut ilmu di akademi dan pulang dengan keputusan cemerlang.
Segala kenangan indah di sana sempat dirakam melalui kamera videonya. Impian Apek ingin menvisualkan memori itu di kaca TV untuk dikongsi bersama peminat tersayang.
Walaupun merindui hari-hari yang dilalui di Kalideras, Apek akur dengan putaran masa. Apek berjanji akan kembali ke sana lagi.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home