Thursday, January 18, 2007

Ella sudah ada calon suami

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Ratu rock negara, Ella akhirnya bertemu jodoh apabila hari ini mengakui hatinya sudah dimiliki.

Malah menurut Ella atau Nurzila Aminuddin, dia merancang menamatkan zaman gadisnya Julai ini dan memilih tarikh 31 Julai untuk berbuat demikian, sempena hari jadinya yang ke-41.

‘‘Memang Ella sedang berkawan dengan seseorang. Orangnya lebih tua daripada Ella dan dia seorang yang meminati puisi. Dah banyak puisi ciptaannya diberikan pada Ella’’ katanya apabila ditanya siapakah jejaka yang berjaya menawan hatinya itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya status lelaki pilihannya itu, Ella tersenyum sambil menjawab: ‘‘Perlukah Ella beritahu?’’.

Difahamkan jejaka tersebut seorang usahawan berjaya dan Ella sudah pun berjumpa keluarga lelaki pilihannya itu selepas berkenalan sejak enam bulan lalu.

‘‘Ella bahagia sekarang dan insya-Allah kami akan kahwin tahun ini. Kalau sudah jodoh, Ella tidak boleh lari lagi,’’ ujarnya.

Penyanyi pujaan ramai itu berkata demikian pada majlis pradengar album terbarunya Rama-Rama di Planet Hollywood di sini hari ini.

Kata Ella, dia akan menjelajah perkampungan Felda di seluruh negara dari Mac hingga Disember ini untuk mempromosikan album terbarunya itu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home