Monday, January 29, 2007

Mawi mula tunjuk sikap 'Diva'

Mawi mula tunjuk sikap 'Diva'

Radin Sri Ghazali (Wartawan Mstar)


Diva... Itulah sahaja yang dapat disimpulkan tentang sikap Mawi yang dilihat kian berubah sejak bergelar penyanyi nombor satu negara
( Foto The Star oleh Norafifi Ehsan)




"Ianya hanya sebuah pertandingan. Saya tidak kisah jika saya kalah ataupun menang,"
(The Star)




Diva... Itulah sahaja yang dapat disimpulkan tentang sikap Mawi yang dilihat kian berubah sejak bergelar penyanyi nombor satu negara.


Semasa menghadiri acara Selebriti Futsal anjuran Karyawan dan stesen radio KLfm di Ampang Sports Planet baru-baru ini, sikap "diva" inilah yang ditunjukkan oleh Mawi yang tiba hampir tiga jam lambat.

Malah ramai pihak termasuk artis-artis lain terpaksa menunggu Mawi untuk memulakan acara tersebut. Bayangkan Mawi bukan saja membiarkan rakan seangkatannya seperti Zahid, Yazer, Haziq, Farahdiya, Siti Saerah dan malah rakan senior Salwa, Nash Lefthanded, Maya, Mazin, Rohana Jalil dan Sharifah Hasnor menunggunya berjam-jam.

Sebaik sahaja anak jati negeri Johor ini sampai ke pusat sukan itu, dengan reaksi muka yang tidak bersalah dan seperti tidak ada apa yang berlaku, Mawi hanya tersengeh-sengeh dan beramah mesra dengan kelompok rakan-rakan artis sahaja.

Mawi langsung tidak memohon maaf kepada ratusan orang yang resah menunggunya sejak jam 12 tengahari lagi. Untuk sesi temubual juga, Mawi kelihatan seperti orang malas yang terpaksa melayan kerenah wartawan dan jurugambar - yang sanggup menunggunya berjam-jam lamanya.

Mustahil, Mawi tidak sedar yang dia datang terlalu lewat ke acara Selebriti Futsal atau mungkinkah ini adalah sikap Mawi yang sebenarnya?

Pihak pengurusan Maestro tentu saja lebih arif tentang jadual anak emas mereka dan bila difikir-fikirkan, adakah kelewatan ini disengajakan atau direstui oleh Maestro? Atau mungkin juga Maestro terpaksa ikut rentak dan gaya "diva" yang baru berusia setahun jagung ini?

Bakal mengadakan konsert untuk mangsa banjir

"Bukannya saya tidak mahu menganjurkan konsert tapi penganjuran konsert memerlukan penelitian dan tidak boleh dilakukan secara mendadak sahaja," ujar Mawi mengenai anggapan sesetengah pihak mengenai sikapnya yang tidak serius untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

Ramai pihak turut rasa tidak puas hati apabila artis hanya sekadar turun padang untuk sehari semalam tanpa menggunakan bakat yang ada untuk membantu menjana wang untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

"Saya tidak tergamak untuk berdiam diri sahaja dan melihat mereka merana. Oleh itu pihak pengurusan saya bersama kerajaan Johor kini dalam perancangan untuk mengadakan konsert untuk megutip derma untuk membantu mereka," ujar jejaka yang berusia 25 tahun itu lagi.

Menurut Mawi, ianya masih belum terlewat untuk mengadakan konsert amal untuk mengutip derma demi membantu mereka di Johor.

"Saya hanya dapat menunggu sahaja kata putus dari mereka mengenai tarikh pengelolaan konsert yang bakal diadakan itu," tegasnya lagi.

Mawi turut melahirkan rasa simpatinya terutamanya selepas lawatan ke beberapa tempat di negeri Johor terutamanya daerah Kluang yang teruk dilanda banjir.

"Sayu melihat keadaan mereka terutamanaya yang berada di pusat pemindahan banjir. Sebagai anak jati negeri Johor saya terkilan melihat negeri saya yang ditimpa musibah seteruk itu," kata Mawi ketika diminta mengulas mengenai lawatannya ke pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Gunung Lambak baru-baru ini.

Namun, Mawi bersyukur bahawa rumahnya di Felda Taib Andak tidak terjejas dengan bencana banjir.


Aduh Saleha ke lokasi bulan Februrari

Aduh Saleha, filem yang melonjakkan nama Mawi di persada seni, dan hampir luput di ingatan para peminat, akhirnya akan memulakan penggambaran pada pertengahan bulan Feburari.

"Saya akan memulakan penggambaran pada bulan hadapan. Filem ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali disebabkan jadual kerja saya yang teramat ketat," jelas Mawi mengenai filem yang sering tertangguh untuk memulakan penggambaran.

Walaupun Mawi memberi reaksi seolah-olah dia tidak tahu menahu mengenai plot mahupun jalan cerita filem tersebut, namun Mawi mengakui bahawa dia kini sedang giat berlatih dialog untuk wataknya.

"Saya memegang watak bernama Man Hero. Dia seorang yang bersifat kelakar, suka melawak dan aksinya ala-ala bodoh yang mencuit hati. Maklumlah ini kan filem berkonsepkan komedi thriller," jelasnya lagi.

Mawi hanya mengelengkan kepala apabila ditanya siapakah calon heroin yang akan digandingkan dengannya dalam filem ini.

"Saya pun tidak tahu siapa? Dengar kata sebuah ujibakat akan diadakan tidak lama lagi untuk mencari pelakon yang sesuai untuk memegang watak Saleha jadi kita tunggu dan lihat sahajalah siapa yang berjaya menerusi ujibakat tersebut," ujarnya lagi.



Tidak kesal dengan persembahan AJL 21

Aksi bersahaja yang disudahi dengan lompatan akrobat Mawi dalam persembahan 'Lagu Jiwa Lagu Cinta' ketika konsert Anugerah Juara Lagu 21 baru-baru ini bagaikan tidak menunjuk ada perubahan sikap positif Mawi.

Anak didik Akademi Fantasia ini seakan mengamalkan sikap acuh tak acuh terhadap konsert akhir tersebut.

"Saya tahu ianya sebuah pertandingan tetapi tidak semestinya keseluruhan persembahan dilakukan secara serius. Malah, Lagu Jiwa Lagu Cinta merupakan sebuah lagu yang berbentuk 'fun' dan ala santai," ujarnya lagi.

Mawi turut menafikan bahawa persediaan yang dilakukan oleh dia bersama M.Nasir adalah pada saat-saat akhir anugerah tersebut.

"Ianya hanya sebuah pertandingan. Saya tidak kisah jika saya kalah ataupun menang," ujarnya lagi.

Sunday, January 28, 2007

Siti Sarah selamat langsungkan pertunangan


Siti Sarah dan tunangnya, Mohd Harith Fuad pada majlis pertunangan mereka petang tadi (Foto The Star oleh TK Lim)

Sarah bersama kedua-dua ibu bapanya dan Fuad (dari kiri) Gail Robinson (ibu Fuad), Bob Robinson (bapa Fuad), Raisuddin Hamzah dan Noraini Mohamad (bapa dan ibu Sarah) (Foto The Star oleh TK Lim)

Sarah dan Fuad bersama barangan hantaran (Foto The Star oleh TK Lim)



Oleh Wahida Asrani Wartawan Mstar)
PETALING JAYA: Setelah setahun perkenalan, penyanyi terkenal Siti Sarah Raisuddin, 23, selamat mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya, Mohd Harith Fuad Robinson, 24, di Hotel Armada, di sini, petang tadi.

Majlis berlangsung sekitar jam 3.40 petang tadi itu diadakan secara sederhana dengan penuh adat tradisi Melayu serta disaksikan oleh kira-kira 100 orang tetamu, terdiri daripada ahli-ahli keluarga, sanak-saudara serta kenalan rapat pasangan tersebut.



Pada majlis pertunangan itu, pihak lelaki menghadiahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan daripada pihak perempuan serta sebentuk cincin.

Sarah dan pelumba motorcross dari kumpulan KTM itu mula menjalinkan hubungan kira-kira setahun lalu menerusi Internet.

Jejaka berasal dari New Zealand itu juga telah menetap di Malaysia sejak tiga tahun yang lalu dan telah memeluk Islam kira-kira empat bulan lepas.

Ditemui sejurus selepas majlis tersebut, Sarah melahirkan rasa gembiranya dengan pertunangan tersebut dan tidak merasakan ikatan itu dibuat terlalu awal untuk mereka.

"Kami sudah berbincang mengenai perkara ini sejak beberapa bulan lalu. Lagipun saya tidak mahu orang ingat saya main-main. Lepas ini, jika mereka terserempak saya keluar bersama Fuad, mereka sudah tahu dia adalah tunang saya.

"Tempoh bertunang adalah dua tahun. Tetapi, terserahlah pada jodoh. Jika memang sampai seru awal, maka mungkin kami akan berkahwin awal. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan," ujar Sarah yang kelihatan anggun mengenakan busana berwarna oren rekaan Syaiful Bahrim.

Bagi Fuad pula, dia merasakan pertunangan itu adalah tindakan yang baik memandangkan mereka sudah mula mengenali isi hati masing-masing, walaupun baru setahun menjalinkan hubungan.

"Kami banyak persamaan. Kami saling ambil berat antara satu sama lain. Sarah dan ayahnya juga banyak memberi tunjuk ajar mengenai Islam.

"Saya gembira, kedua-dua ibu bapa saya di New Zealand turut bersetuju dengan pilihan saya dan memang langsung tiada tentangan," kata Fuad.

Tuesday, January 23, 2007

Video Persembahan AJL 21

Beberapa video pilihan dari Anugerah Juara Lagu ke 21

Mawi & M Nasir - Lagu Jiwa Lagu Cinta


Adibah Noor - Terlalu Istimewa (Persembahan Juara AJL 21)


M .Nasir Juwita


Preety Ugly Diari Seorang Lelaki


Hazami Mungkir Bahagia



Sumber : dari suremasyuk,kimiraikkonen2007

Monday, January 22, 2007

Terlalu Istimewa ungguli AJL21







'Terlalu Istimewa' ungguli AJL21

Wahida Asrani dan Radin Sri Ghazali(Wartawan Mstar)

KUALA LUMPUR: Lagu Terlalu Istimewa ciptaan komposer Azlan Abu Hassan dan lirik oleh Adibah Noor telah muncul sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-21 (AJL21) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Lagu yang dipersembahkan oleh Adibah sendiri itu berjaya merangkul wang tunai RM25,000 serta trofi.

Terlalu Istimewa juga turut dinobatkan sebagai Juara bagi kategori Balada, menewaskan tiga buah lain di dalam kategori yang sama iaitu Mungkir Bahagia (nyanyian Hazami), Ku Seru (Misha Omar) dan Secebis Harapan (Nora).

Untuk kategori tersebut, Azlan dan Adibah memenangi wang tunai RM12,000 beserta trofi.

Bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif pula, kemenangan telah berpihak kepada lagu Warkah Buat Laila ciptaan Ayob Ibrahim dan lirik oleh Habsah Hassan yang dipersembahkan oleh Zahid, manakala untuk Pop Rock pula, M.Nasir mengungguli kategori itu apabila lagu Juwita Citra Terindah, ciptaan sepenuhnya oleh dirinya sendiri berjaya dinobatkan sebagai juara.

Bagi kedua-dua kategori itu, masing-masing turut membawa pulang RM12,000 dan trofi.

Sementara itu, Adibah Noor juga turut memenangi anugerah Vokal Terbaik menerusi persembahannya dengan lagu Terlalu Istimewa dan membolehkannya menerima wang tunai RM10,000 dan trofi.


M.Nasir juarai kategori Pop Rock

Penyanyi Hazami juga membawa pulang trofi dan wang tunai RM10,000 selepas memenangi Persembahan Terbaik menerusi lagunya Mungkir Bahagia.


Hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzuan.

Lagu lain yang turut bersaing dalam kategori Pop Rock ialah Diari Seorang Lelaki, nyanyian Pretty Ugly, Lagu Jiwa Lagu Cinta (M.Nasir dan Mawi) dan Tak Tercapai Akalmu (Elyana).


Bagi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif pula, lagu lain yang turut berentap malam tadi ialah Zapin Cinta SMS (nyanyian Senario dan Adibah Noor), Hantaran Hati (Bob dan Aspalela Abdullah) dan Candak (Siti Nordiana).

Komen pemenang:

Adibah Noor:

"Saya tidak sangka saya menang malam ini, apatah lagi mengalahkan orang lama seperti M.Nasir dan Ayob Ibrahim (komposer Warkah Buat Laila). Malah, saya rasakan saya tidak layak memenangi Vokal Terbaik sebab saya rasa suara saya seperti sumbang.


"Tapi, alhamdulillah. Sudah rezeki saya. Saya memang harap untuk menang kategori Balada, tetapi tidak terlintas untuk jadi juara keseluruhan AJL21. Sayalah orang kedua yang menang tiga kategori selepas Misha Omar."

Azlan Abu Hassan (komposer Terlalu Istimewa):

"Saya memang tidak pernah letak harapan yang tinggi pada lagu ini. Tetapi, Adibah telah beri tuah pada saya. Sepanjang lebih 20 tahun saya di dalam industri ini, inilah kali pertama saya menang Juara Lagu."

M.Nasir:

"Saya gembira dan saya berpuas hati dengan keputusan malam ini. Lagu Juwita Citra Terindah ialah elemen pop yang berbeza daripada lagu-lagu saya yang dulu dan saya gembira juri profesional dapat terima lagu seperti ini."

Warkah Buat Laila dendangan Zahid juarai kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif

Zahid:

"Lagu ini merupaka satu tanggungjawab yang besar untuk saya galas. Malah, saya sendiri takut jika saya tidak dapat sampaikan lagu ini dengan baik.Saya bersyukur kerana diamanahkan oleh Ayob dan Kak Chah (Habsah) untuk nyanyikan lagu yang sungguh puitis ini.

"Alhamdulillah, lagu ini berjaya meraih kemenangan menerusi kategori Irama Malaysia dan Etnik Kreatif. Saya puas hati kerana memang saya sendiri tidak menaruh harapan tinggi untuk menang."

Hazami:

"Saya bersyukur sangat dengan kemenangan ini. Saya memang banyak buat research untuk persembahan malam ini dan akhirnya saya putuskan untuk buat pentomin dan koir.

"Saya rasa, saya buat satu persembahan yang kreatif sebab saya gabungkan koir tersebut dengan pentomin. Maknanya, juri nampak apa yang saya cuba lakukan!"






TERLALU ISTIMEWA
LAGU : AZLAN ABU HASSAN
LIRIK : ADIBAH NOOR
PENYANYI : ADIBAH NOOR

Emm..

Ku tatap gambar wajahmu
Sinar mata itu
Lirik senyumanmu
Pesona yang membelai

Wajahmu bercahaya memberi bahagia
Tiap yang memandang hati jadi salju

Kau terlalu istimewa
Kasih dan sayangmu terpancar seikhlas
Tiada batasan terus membara

Terkilan rasa jiwa
Inginku lihatmu dewasa
Apa daya
Tuhan lebih menyayangimu

Ku pasti kau berbahagia
Duduk disampingNya
Mendengar cerita
Segala rahsia…

Kau terlalu istimewa
Kasih dan sayangmu terpancar
Seikhlas..tiada batasan terus membara

Terkilan rasa jiwa
Inginku lihatmu dewasa
Apa daya Tuhan lebih
Menyayangimu

Tak tertanggung rindu
Mendengar suaramu
Tawa mengusik jiwa

Terpancar ..seikhlas tiada batasan
terus membara

Terkilan rasa jiwa
Ingin ku lihatmu dewasa
Apa daya
Tuhan lebih menyayangimu

Tahniah Adibah Noor dan Azlan Abu Hassan Dari Kami di apa-sajer

 

Thursday, January 18, 2007

Ella sudah ada calon suami

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Ratu rock negara, Ella akhirnya bertemu jodoh apabila hari ini mengakui hatinya sudah dimiliki.

Malah menurut Ella atau Nurzila Aminuddin, dia merancang menamatkan zaman gadisnya Julai ini dan memilih tarikh 31 Julai untuk berbuat demikian, sempena hari jadinya yang ke-41.

‘‘Memang Ella sedang berkawan dengan seseorang. Orangnya lebih tua daripada Ella dan dia seorang yang meminati puisi. Dah banyak puisi ciptaannya diberikan pada Ella’’ katanya apabila ditanya siapakah jejaka yang berjaya menawan hatinya itu.

Bagaimanapun, apabila ditanya status lelaki pilihannya itu, Ella tersenyum sambil menjawab: ‘‘Perlukah Ella beritahu?’’.

Difahamkan jejaka tersebut seorang usahawan berjaya dan Ella sudah pun berjumpa keluarga lelaki pilihannya itu selepas berkenalan sejak enam bulan lalu.

‘‘Ella bahagia sekarang dan insya-Allah kami akan kahwin tahun ini. Kalau sudah jodoh, Ella tidak boleh lari lagi,’’ ujarnya.

Penyanyi pujaan ramai itu berkata demikian pada majlis pradengar album terbarunya Rama-Rama di Planet Hollywood di sini hari ini.

Kata Ella, dia akan menjelajah perkampungan Felda di seluruh negara dari Mac hingga Disember ini untuk mempromosikan album terbarunya itu.

Tuesday, January 16, 2007

Apek jawab tohmahan terhadapnya



Oleh: MOHAMMAD ARIF NIZAM ABDULLAH (Wartawan Utusan)




EKSKLUSIF
“MEMANG saya belajar ilmu sesat tapi ilmu sesat di hutan dan memang saya meninggal tapi meninggalkan Malaysia,” demikian gurau Apek menjawab cerita negatif dirinya yang ‘berhijrah’ selama tiga minggu di Jakarta, Indonesia.

Lewat tahun lalu, kecoh sekejap apabila Apek, 37, dilaporkan sakit misteri iaitu demam panas berpanjangan selama setahun.

Dan pastinya selepas itu, macam-macam cerita negatif yang sampai ke telinga wartawan. Menurut mereka, Apek bukan sakit buatan orang tapi buatan sendiri iaitu penyalahgunaan dadah.

Belum habis cerita Apek ‘lalok’ dengan dadah, timbul pula cerita dia mengamalkan ilmu hitam. Cerita kelakar juga muncul tiba-tiba. Apek kahwin lari.

Namun akhirnya Apek atau nama sebenarnya Saifulazam Mohamed Yusoff tampil memberi penjelasan tentang perkara sebenar yang menimpa dirinya.

Ternyata semua cerita negatif itu tidak benar sama sekali. Seperti kata Apek, jangan kerana dia berambut panjang dan `kurus keding’, orang boleh melemparkan pelbagai tuduhan terhadapnya.

Apek pulang ke tanah air meratapi berita sedih apabila bapa tiri dan rakan baiknya meninggal dunia.

Bersimpati dengan Apek, soalan perlu juga dikemuka kenapa dia ke Indonesia hanya tiga minggu dan bukannya tiga bulan seperti heboh di dada akhbar sebelum ini. Siap faks ke semua pejabat media sebelum pergi berubat.

“Banyak faktor yang menghalang. Kita sebagai manusia hanya mampu merancang tetapi selalunya banyak perkara yang tidak terjadi.

“Contohnya masalah teknikal yang melibatkan syarikat saya, Gitu-Gitu Production Sdn. Bhd.

“Sukar untuk meninggalkan urusan pejabat dalam jangka masa terlalu lama,” kata Apek mula bercerita.

Kata Apek, dia pergi seorang diri ke Indonesia dan seluruh ahli keluarganya merestui pemergiannya itu.

Soalan yang wajib ditanya. Apek sudah pulih sepenuhnya? Pantas dia memegang tangan saya. Panas lagi, terdetik di hati.

“Belum pulih lagi ke?” soal kembali kepadanya. Apek membalas sambil mengukir senyuman, “Alhamdulillah. Keadaan lebih baik daripada sebelumnya. Tapi saya percaya setiap penyakit ada ubatnya. Doktor sudah pun periksa. Memang tiada penyakit berbahaya seperti kanser, tibi, leukemia dan HIV.

“Jantung dan paru-paru pun tiada masalah. Cuma doktor cakap buah pinggang saya ada sedikit masalah kerana kekerapan mengambil ubat demam. Tapi sekarang sudah okey.

“Apa pun saya akan terus berikhtiar mencari penawar terhadap demam saya yang berpanjangan ini,”

Bapa kepada dua anak lelaki ini turut mencuba perubatan tradisional. Namun jelas tidak menunjukkan tanda-tanda dia mangsa buatan orang yang dengki khianat.

*Demam sejak 2005

Umum barangkali tidak mengetahui penyakit misteri Apek bermula dengan simptom demam berpanjangan sejak Aidilfitri 2005. Akibatnya badan Apek panas setiap masa walaupun fizikalnya kelihatan ceria dan mampu meneruskan karier seninya.

Namun ada waktunya tahap kesihatan diri Apek terlalu lemah dan menyebabkan pelawak popular ini tidak mampu bangun serta terlantar di atas katil.

“Penyakit ini memang mengganggu jadual seni saya dan saya akur dengan ketentuan takdir. Tapi saya tidak mahu penyakit ini mengganggu komitmen orang lain.

“Misalnya bila terlibat dalam penggambaran filem, ia mengambil masa yang lama. Belum masuk dengan dubbing (proses memasukkan suara) dan promosi lagi. Inilah risiko yang saya hadapi jika berterusan ditimpa penyakit misteri ini,” ujar Apek yang selesa memakai kaca mata hitam sepanjang kami berborak santai di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sempat ditanya apa penyakit Apek sebenarnya? Rata-rata doktor dan pakar tradisional kata Apek memberi jawapan yang sama iaitu dia terlampau kuat bekerja dan tidak menghiraukan kesihatan diri.

“Oleh itu mulai tahun ini saya akan kurang bekerja supaya tidak membebankan diri sendiri. Saya perlu kasihan pada diri saya selepas ini,” kata Apek penuh harapan.

Justeru perancangan tahun baharu, Apek rancak menyusun jadual untuk bekerja pada hujung minggu sahaja.

“Saya akan menumpukan pada beban kerja yang kurang seperti majlis makan malam dan acara karnival keluarga. Ini kerana pada masa sama, saya masih dapat menyumbang kepada masyarakat melalui karier seni saya,” jelas Apek yang tetap nampak kurus seperti dulu.

*Kembara Apek ke Kalideras, Jakarta

Apek nekad meninggalkan tanah air tercinta seorang diri pada 30 November tahun lalu. Tanpa isteri dan dua anak lelakinya, Apek berkelana di bandar Jakarta selama dua hari kerana mencari rumah ibu saudaranya.

Menjejaki alamat itu, Apek bergegas ke sebuah perkampungan di pinggir Jakarta yang dikenali Kalideras.

Kalideras merupakan sebuah perkampungan yang sedang membangun. Namun masih mengekalkan nilai-nilai kehidupan tradisional bersama pemandangan yang mempesonakan.

Di sana Apek bertemu dengan ibu saudaranya bernama Cheng Aji yang berumur 103 tahun. Bersama pakciknya pula Haji Mokhsin, seorang ahli agama yang disegani, Apek disaran menjalani kaedah terapi merawat penyakitnya.

Pada masa sama, Apek turut berjumpa ulama dan tabib bagi mengenalpasti penyakit misteri itu. Jawapan mereka, Apek bebas daripada penyakit buatan orang malah diakui pula seorang manusia yang disukai ramai kerana karakter kelakar.

Namun apa yang membuatkan diri Apek bahagia apabila dapat kembali menjalani kehidupan Muslim dengan sempurna. Itulah terapi Apek.

Sembahyang lima waktu menjadi faktor jiwanya memperoleh ketenangan yang dicari sepanjang 13 tahun bergelar anak seni.

Menjadi orang biasa, masyarakat Kalideras tidak mengenali Apek iaitu pelakon, penyanyi dan pelawak popular Malaysia. Apek bebas bergerak ke sana sini bersama kasut rodanya. Tiada lagi tidurnya yang kurang akibat berjaga malam, selain makan minum yang sempurna disediakan.

*Jumpa Gus Dur

Langsung tidak pernah terlintas di fikiran Apek dapat berjumpa bekas Presiden Indonesia, Gus Dur atau nama penuhnya Abdul Rahman Wahid. Apa yang mengharukan Apek ialah jemputan itu datang daripada seorang pemerintah yang pernah menjaga penduduk sejumlah 270 juta orang.

Pertemuan hampir sejam itu meninggalkan kesan mendalam buat Apek. Kata Gus Dur di hujung perbualan, masyarakat Indonesia tidak mahu meniru Malaysia tetapi ingin mencontohi kejayaan Malaysia.

Apek percaya kata-kata itu mempunyai hubung kait dengan dirinya apabila orang mula memperkatakan lawaknya yang stereotaip dan bodoh. Hikmah bagi Apek, dia akan terus menjadi dirinya sendiri yang selama ini membawanya ke puncak kejayaan.

Sempat mengenali pemuzik di sana, Apek menyanjung tinggi penghormatan yang diberikan kepada kumpulan rock di Malaysia.

Lantas terfikir di benak hati Apek mengapa perlu timbul isu tidak puas hati kemasukan band Indonesia ke Malaysia. Pendapatnya mudah kerana seni hiburan itu perlu dihidangkan berwarna warni agar peminat mendapat apa yang diinginkan.

Justeru Apek berharap isu berat sebelah dan iri hati tidak wujud lagi di kalangan pemuzik tanah air. Dia beranggapan muzik itu untuk semua orang.

Jelas pengalaman bersama pemuzik di sana mencetuskan idea baharu buat Apek bagi mengembangkan karier seninya.

Akhirnya Apek selamat pulang ke tanah air dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidiladha. Tiga minggu di sana ibarat Apek menuntut ilmu di akademi dan pulang dengan keputusan cemerlang.

Segala kenangan indah di sana sempat dirakam melalui kamera videonya. Impian Apek ingin menvisualkan memori itu di kaca TV untuk dikongsi bersama peminat tersayang.

Walaupun merindui hari-hari yang dilalui di Kalideras, Apek akur dengan putaran masa. Apek berjanji akan kembali ke sana lagi.

Sunday, January 14, 2007

`Macamlah Ikin ni sengkek sangat!'


Oleh Zubir Mohd Yunus(Wartawan Bintang Popular)

"KADANG-KADANG timbul juga rasa malu apabila kali kedua kita bertemu. Tentu Ikin ada cerita kontroversi, cerita yang tak sedap kita dengar. Tapi, cerita seumpama ini bukan Ikin minta.

Apa yang terjadi ini adalah terlalu peribadi. Gara-gara sekeping cek, membuatkan hidup Ikin sekarang huru-hara. Apabila berlakunya perkara seumpama itu (Ikin terima cek daripada Mawi), seolah-olah orang luar melihat macamlah Ikin `sengkek' sangat. Hanya tahu menghabiskan duit orang untuk kepentingan peribadi!

Ikin ni perempuan, ada keluarga, nanti orang luar akan ingat lain, beri tafsiran macam-macam. Orang akan beranggapan, Ikin berkawan dengan Mawi, hanya nak duitnya saja. Orang akan fikir benda-benda negatif saja. Tapi, apa yang paling Ikin kesalkan, nilai cek yang tak sampai RM10,000, kecohnya macam Ikin terima RM100,000!

Itupun kerana kiriman barang daripada Mawi, bukannya Mawi kirim cek untuk kegunaan peribadi Ikin! Ikin beli dulu barang-barang yang Mawi pesan di Singapura, lepas tu Mawi bayar balik guna cek tu. Kebetulan Ikin berada di Johor menjenguk adik yang sedang sakit, langsung ke Singapura kerana tengah big sale!

Tapi, Ikin yakin, apa saja yang Ikin jelaskan di sini, orang tetap tak nak percaya. Orang tak habis-habis mengata yang Mawi tu sugar daddy Ikin, bagi duit, bela Ikin! Biasalah kalau sugar daddy dah bagi duit kat orang perempuan, pasti mereka nakkan balasannya.

Sampai berbuih mulut Ikin terangkan perkara sebenar, orang tetap tak akan faham. Orang luar akan terus-terusan beranggapan yang Mawi bagi duit pada Ikin sebab dia inginkan `sesuatu' daripada Ikin! Semua itu tidak benar! Maruah diri dan keluarga Ikin benar-benar tercalar, Ikin tertekan!

Apabila kita bercakap perkara yang benar, orang tak nak percaya. Mereka tetap buat tafsiran sendiri. Sekarang ni Ikin dah jelaskan perkara sebenar. Kalau orang di luar sana masih tak nak percaya, tetap buat andaian sendiri, terpulanglah.

Apa yang Ikin tahu, Ikin ikhlas tolong Mawi beli barang-barang untuk dirinya. Ikin tahu Mawi pun ikhlas nak berkawan dan dia pun percayakan Ikin."

Kerja jahat orang dalam?

"MEMANG masa Mawi bertandang ke rumah Ikin pada malam hari raya itu, kami belum kenal rapat. Tapi, selepas tercetusnya kontroversi apabila gambar Mawi dan Ikin sekeluarga tersebar di Internet, kami jadi kawan baik. Mawi banyak beri nasihat pada Ikin, dia minta maaf, gara-gara gambar berkenaan, Ikin terkena tempiasnya.

Ekoran dari kontroversi berkenaan, perkenalan kami semakin rapat, kami berbalas-balas SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) seperti orang lain juga. Biarlah Ikin berterus-terang, buat masa ini Mawi adalah teman rapat Ikin.

Atas dasar persahabatan dan keakraban kami itulah, Mawi tak ada masalah dengan Ikin, dia percaya pada Ikin. Ikin akui, kalau kami tak rapat, takkan Mawi sanggup kirimkan cek pada Ikin untuk beli barang keperluannya.

Buat masa ini Ikin tak salahkan siapa-siapa di atas apa yang berlaku termasuk pihak media yang mendedahkan perkara ini. Pihak media hanya menjalankan tugas mereka.

Tapi, apa yang membuatkan Ikin tertanya-tanya, bagaimana segala maklumat yang tertera pada cek berkenaan, boleh terkeluar dari bank berkenaan dan sampai ke tangan media? Ikin ada terima cek yang pertama daripada Mawi, November, masa tu Mawi kirim jam.

Tapi, maklumat cek yang pertama itu tak terlepas ke tangan orang luar, hanya cek yang kedua kiriman Mawi bertarikh 8 Disember, Ikin tak faham bagaimana maklumatnya boleh jatuh ke tangan orang luar sedangkan Ikin mendepositkan cek berkenaan menerusi mesin deposit di sebuah bank di Mutiara Damansara.

Dari situ, Ikin tak tahu bagaimana prosesnya, sehingga maklumat cek berkenaan boleh terlepas ke tangan orang luar, akhirnya dihidu pihak media. Apa yang menghairankan, Ikin mendepositkan cek berkenaan menerusi mesin, bukannya berurusan di kaunter!

Justeru, perkara seumpama ini terlalu peribadi. Takkan Ikin terima cek daripada Mawi, Ikin nak beritahu semua orang. Mawi kirim barang pada Ikin, Ikin kena buat sidang media! Umpamanya warna pakaian dalam kita, takkan nak beritahu kepada orang luar!

Sedangkan adik kembar Ikin sendiri, Ain, tak tahu berapa jumlah simpanan duit Ikin di dalam bank sebab itu terlalu peribadi! Jauh sekali Ain dapat tahu nombor akaun Ikin, tapi apabila maklumat cek berkenaan terlepas ke tangan media, mereka sampai tahu segala-galanya!

Justeru, buat masa ini Ikin tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Biarlah Ikin membuat siasatan dalaman dulu. Apabila dah dapat bukti, baru Ikin berani cakap siapa yang bertanggungjawab. Ikin juga ada menerima panggilan daripada pihak peguam untuk membantu, tapi biarlah Ikin selidiki dulu perkara sebenar.

Mawi sendiri terperanjat dengan perkara ini dan dia menasihatkan Ikin supaya bersabar dan jangan ambil sebarang tindakan mahkamah. Mungkin ada berlaku kesilapan sehingga maklumat cek berkenaan terlepas ke pengetahuan pihak luar. Mawi kata, jangan buat sebarang andaian, mungkin ada sebab terjadi begini.

Ikin yakin, suatu hari nanti, lambat laun akan terbukti juga siapa yang bertanggungjawab. Ikin hanya perlu bersabar dan berserah pada Tuhan."

Info Ikin Rahmat:

Nama sebenar ialah Nora'sikin Rahmat atau Ikin, 27, dan dilahirkan pada 5 November. Ikin berasal dari Johor Bahru dan anak kedua dari lima beradik yang kesemuanya perempuan. Dia mendapat pendidikan sehingga tingkatan lima di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Johor Bahru.

Sebelum menceburi dunia lakonan, Ikin pernah membuka butik pakaian pengantin, Nuit De Nose, namun ia sudah pun ditutup apabila dia mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur.

Mula dikenali sebagai pelakon apabila membintangi drama TV bersiri pertamanya, Kawan terbitan ACE Motion Pictures yang pernah disiarkan di TV3, baru-baru ini. Ikin berlakon bersama adik kembarnya, Nora'ain Rahmat (Ain).

Ikin juga baru mendapat tawaran sebagai model dan juru cakap sebuah produk kecantikan terkenal selama setahun.

Friday, January 12, 2007

Majlis Hari Jadi untuk isteri tercinta!














Oleh :Wahida Asrani (Wartawan M aduh)

"Kasih sayang dari suami adalah hadiah paling berharga buat Siti," - itulah luahan penyanyi sensasi Siti Nurhaliza ketika ditanya mengenai hadiah istimewa yang diberikan oleh suaminya, Datuk Khalid Muhammad Jiwa, atau Datuk K, sempena ulang tahun kelahiran penyanyi itu yang ke-28 hari ini.

Dari raut wajahnya yang sentiasa terukir dengan senyuman, jelas kelihatan bahawa penyanyi ini sememangnya sedang bahagia meniti alam rumahtangga bersama suaminya yang tercinta.

Walaupun berkali-kali merayu kepada pihak media supaya tidak membuat sebarang temubual pada majlis sambutan harijadinya malam tadi, Siti adakalanya kelihatan 'mengalah' apabila wartawan masih cuba mencungkil tentang kisah hidupnya kini.


Siti dan suami, Datuk K pada majlis sambutan hari lahir ke-28 penyanyi itu (Foto The Star oleh Norafifi Ehsan)


"Syukur alhamdulillah. Siti bahagia dengan kehidupan sekarang. Ini juga kali pertama Siti sambut hari jadi sebagai seorang isteri. Majlis ini sebenarnya dibuat oleh suami.

"Sebenarnya mereka nak buat surprise, tapi memang kalau dengan Siti tak payahlah nak buat surprise sebab Siti akan tahu juga," ujarnya ceria ketika ditemui di majlis tersebut yang bertempat di Restoran Gaucho, Chulan Square, Kuala Lumpur.

Anggun dengan gaun berwarna hitam, Siti yang tiba di majlis itu kira-kira jam 8.30 malam bersama suami, Datuk K diraikan di dalam suasana meriah oleh kira-kira 160 orang tetamu yang rata-ratanya terdiri daripada ahli keluarga, kenalan rapat serta rakan-rakan artis.

Sesekali, aksi romantis Siti dan suaminya itu jelas kelihatan apabila pasangan ini dilihat sering berjalan berpimpinan tangan sambil melayan tetamu yang hadir.

Antara rakan artis yang hadir memeriahkan sambutan hari jadi penyanyi tersohor itu ialah Ning Baizura, Dayang Nurfaizah, Syafinaz, Nora dan suami Johan Nawawi, Ezlynn, Aznil Nawawi, Nurul, Linda Rafar dan Syed Aiman, Juliza Adlizan, Sharifah Shahira, Ijoy, Sharifah Norhaslinda dan suami Datuk Reezal Merican, Kat serta Fara Fauzana.




Di sekitar majlis ulang tahun Siti yang ke-28 (Foto The Star oleh Norafifi Ehsan)


Turut hadir sebagai tetamu khas pada majlis itu ialah Setiausaha Agong UMNO Tan Sri Khalil Yaacob.

Selain kenalan dan rakan artis, turut tidak ketinggalan meraikan hari lahir penyanyi itu ialah ibu Siti, Siti Salmah Bachik, kakak iparnya Rozie dan adiknya Siti Saerah. Mereka juga ditemani ibu Khalid, Zainab Hanafi dan kakak Khalid, Zaiton Muhammad Jiwa, yang juga menjadi tunggak utama penyelaras majlis pada malam itu.

Ayah Siti, Taruddin Ismail dan abangnya, Ayie bagaimanapun tidak dapat menghadirkan diri kerana sedang berada di Perak.

Sementara menantikan detik 12 malam, majlis yang dihoskan oleh pelawak Dee telah diserikan dengan persembahan oleh Syed Sobri dan isteri, Azie yang mendendangkan beberapa buah lagu antaranya, I Finally Found Someone, Mencintaimu, Nyanyian Asmara dan Aku Makin Cinta.

Beberapa artis seperti Nora, Nurul, Aznil dan Ezlynn juga turut mengambil peluang menghiburkan para tetamu.

Namun, acara memotong kek telah diawalkan kira-kira setengah jam untuk mengelakkan majlis tersebut berakhir begitu lewat.


Antara rakan artis yang hadir.. Dayang, Nora, Ezlynn, Ning, Linda Rafar dan Syed Aiman


"Walaupun belum pukul 12, Siti tak kisah. Yang penting, Siti gembira ramai yang datang meraikan hari bermakna buat Siti ini. Doakan kebahagiaan Siti," ucapnya sebaik selesai acara memotong kek.

Siti, yang juga berkongsi tarikh lahir yang sama dengan penyanyi Syafinaz turut mengundang penyanyi itu untuk bersama-sama memotong kek hari lahir tersebut sebelum menghiburkan tetamu dengan beberapa buah lagu, antaranya Dealova dan duet bersama Syafinaz untuk lagu Can't Take My Eyes Off You

Berbicara mengenai harapannya sempena hari lahirnya yang ke-28 ini, Siti berkata, dia hanya ingin berdoa untuk kebahagiaan rumahtangga, kerjaya, kehidupan serta harapan untuk menimang cahaya mata secepat mungkin.

"Tapi, belum ada 'petanda' lagi ye. Ada rezeki, adalah...," kata Siti berseloroh ketika perkara 'anak' dibangkitkan.

Siti dijangka akan memulakan proses rakaman album tradisionalnya pada pertengahan tahun ini.

Sunday, January 07, 2007

Apabila Ina Naim bertemu Arni Nazira

Oleh : ZubirIntip ( Wartawan Berita Harian)


APABILA berlakunya perceraian antara Awie dan Arni Nazira pada 16 Oktober lalu, Zubir menyimpan hasrat untuk bertemu dengan Arni secara peribadi, namun kesempatan itu tidak mudah dikotakan apabila Arni sukar dihubungi, apatah lagi untuk menemubualnya.

Pun begitu, apabila Zubir ke Kuala Terengganu minggu lalu menyertai siri pertama jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006, Arni muncul pada hari perasmian untuk membuat persembahan. Semuanya atas bantuan wakil Berita Harian di Kuala Terengganu, Saudara Baharom. Terima kasih Pak Baharom!

Melihat saja kelibat Arni di belakang pentas, Zubir terus menyapanya dan memperkenalkan diri.

“Kenal... Arni masih ingat kat Abang Zubir. Kan ke kita pernah buat fotografi ABPBH kat Genting Highlands. Masa tu kalau Arni tak silap, Arni sedang mengandung anak kedua, Putri Aleefa,” begitulah Arni tetap peramah, sekalipun sudah lama tidak bersua muka dengannya.

Kehadiran Arni menarik perhatian ramai pengunjung, dia terus bersalaman, menguntum senyuman dan bergambar dengan mereka. Tapi, masih terbayang pada wajahnya, kesedihan yang amat sangat. Kedua-dua anaknya, Aleeya dan Aleefa kini di dalam peliharaan bekas suaminya, Awie.

Melihatkan kesedihan yang cuba disembunyikan Arni, Zubir terus teringatkan Ina Naim yang berada di dalam bas ketika itu. Zubir terus menggandingkan Arni dan Ina dalam satu fotografi yakni menggandingkan dua hati yang sedang terluka, Arni baru bercerai, manakala Ina pula putus tunang dengan juara AF3, Mawi.

Zubir sempat bertanyakan kepada Ina, apa yang dibualkannya bersama Arni.

“Ina sempat menasihatkan Kak Arni, Ina harap dia banyak bersabar, kuatkan semangat dan cekal menempuh dugaan Tuhan,” kata Ina yang semakin petah berkata-kata.

Bukan setakat Arni saja, Zubir pun harap Ina menjadikan kata-kata semangat kepada Arni itu sebagai panduannya sendiri, mudah-mudahan dia tidak terus berduka mengenangkan kisah lama. Zubir juga berdoa Arni dapat bertemu dengan anak-anaknya sedikit masa lagi, sekurang-kurangnya untuk melepaskan rindu.

Tuesday, January 02, 2007

Video Saddam di Gantung

Ini lah video gambar Saddam di gantung.Video mungkin akan tersekat-sekat .Harap bersabar.




Semoga rohnya di cucuri rahmat Allah.

-Al Fatihah-